SANTO DOMINGO: Seorang juruterbang dan pembantu juruterbang disahkan terkorban selepas sebuah pesawat jet peribadi model Gulfstream terhempas lalu mencetuskan kebakaran besar di Republik Dominika, pada Ahad.
Nahas udara yang berlaku pada waktu petang itu dilaporkan terjadi di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa La Romana, sehingga menyaksikan kepulan asap hitam tebal menjulang tinggi ke ruang udara.
Pesawat yang didaftarkan di Amerika Syarikat (AS) itu pada awalnya tiba di Republik Dominika dari Puerto Rico bagi tujuan mengisi bahan api sebelum dijadualkan berlepas ke bandar Austin, Texas menerusi penerbangan sewa khas.
Bagaimanapun, hanya beberapa minit selepas berlepas, anak kapal melaporkan masalah teknikal yang memaklumkan bahawa mereka terpaksa melakukan pendaratan cemas semula ke lapangan terbang berkenaan.
Data awal pengesanan penerbangan menunjukkan pesawat komersial itu sempat berputar beberapa kali di ruang udara berhampiran lapangan terbang sebelum cuba mendarat di atas landasan.
Malangnya, jet tersebut dilaporkan hilang kestabilan lalu terhempas di dalam kawasan perimeter terminal lapangan terbang terbabit.
Pesawat Gulfstream milik syarikat penerbangan eksekutif itu disahkan hanya membawa dua orang anak kapal ketika kejadian dan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Setakat ini, identiti penuh kedua-dua mangsa masih belum didedahkan kepada umum.
Susulan insiden itu, sepasukan anggota bomba, kakitangan Perkhidmatan Penyelamat dan Kebakaran Lapangan Terbang selain Kor Keselamatan Penerbangan Awam dan Lapangan Terbang Khas bergegas ke lokasi bagi mengawal kawasan nahas.
Pada masa sama, pasukan penyelamat dan juruteknik pakar telah mula mengumpul bukti fizikal untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan tersebut.
Pihak berkuasa aeronautik Republik Dominika kini membuka kertas siasatan menyeluruh termasuk meneliti jenis kegagalan sistem yang dilaporkan oleh anak kapal sebelum nahas berlaku. – AGENSI










