Penjawat awam Pahang terima BKK sebulan setengah gaji - Utusan Malaysia

Penjawat awam Pahang terima BKK sebulan setengah gaji

WAN ROSDY Wan Ismail membetangkan Belanjawan Negeri Pahang 2024 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebulan setengah gaji dengan minima RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, BKK itu sebagai penghargaan kerajaan negeri kepada seluruh penjawat awam negeri ini.

“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh penjawat awam yang terus memberikan dokongan dan keyakinan dalam melaksanakan amanah ini.

“Sikap profesionalisme dan saling hormat-menghormati menjadi adunan penting dalam memastikan negeri Pahang kekal maju dan makmur.

“Justeru, sebagai menghargai sumbangan dan motivasi kepada mereka untuk meneruskan kerja baik dan meningkatkan pencapaian di masa hadapan, saya mengumumkan suatu bantuan khas kewangan kepada anggota perkhidmatan awam negeri ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2024 di Wisma Sri Pahang di sini.

Wan Rosdy berkata, bayaran terbabit akan dikreditkan pada tahun hadapan melibatkan keseluruhan peruntukan sebanyak RM39.6 juta.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Belanjawan Negeri Pahang 2024 merupakan ikhtiar kerajaan negeri yang ikhlas dan tuntas dengan menjadikan rakyat sebagai keutamaan dalam agenda pembangunan negeri.

“Bersandarkan kepada perspektif ini, maka tema Pahang Prihatin, Rakyat Makmur telah dipilih menjadi teras utama kepada intipati keseluruhan Belanjawan Negeri Pahang untuk tahun 2024,” katanya.

Tambahnya lagi, bagi tahun hadapan juga, kerajaan negeri menyasarkan kutipan hasil mencecah RM1.137 bilion.

“Unjuran hasil ini adalah yang paling tinggi dalam sejarah, dengan peningkatan lima peratus berbanding Belanjawan Tahun 2023.

“Daripada jumlah ini, RM1.125 bilion akan diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus, yang merangkumi perbelanjaan Emolumen, Perkhidmatan dan Bekalan, Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap serta Perbelanjaan Lain dan Aset, dengan peningkatan sebanyak RM54 juta atau 5.04 peratus berbanding tahun 2023,” ujarnya.

Menurutnya lagi, bagi Perbelanjaan Pembangunan, sejumlah RM301.29 juta peruntukan yang akan disediakan merangkumi projek infrastruktur sebanyak RM171.98 juta dengan pembiayaan secara langsung.

“Manakala, RM129.30 juta atau bersamaan 42.92 peratus adalah daripada pinjaman Kerajaan Persekutuan bagi membiayai Projek Bekalan Air,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya