KUALA LUMPUR: Bekas peguam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo mendapat lanjutan masa untuk memfailkan pembelaannya berhubung kes saman syarikat itu yang menuntut ganti rugi AS$8 bilion.
Sehubungan itu, Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad mengarahkan pembelaan tersebut bersama-sama dokumen berkaitan difailkan selewat-lewatnya pada 22 April ini. Tarikh sama ditetapkan untuk pengurusan kes.
Pada 7 Mei 2021, writ saman itu pada asalnya difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikat kepada 15 defendan termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Empat anak syarikat itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, atau lebih dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited.
Saman AS$8 bilion itu adalah salah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan bagi menuntut lebih AS$23 bilion terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan 1MDB.
Selain Najib dan Jasmine, saman itu menamakan bekas Pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram sebagai defendan.
Turut dinamakan sebagai defendan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; Mohd Hazem Abdul Rahman; Azmi Tahir; Radhi Mohamad serta bekas pegawai 1MDB, Terence Geh Choh Heng; Casey Tang Keng Chee; Vincent Beng Huat Koh, Kelvin Tan Kay Jin dan Nik Faisal Ariff Kamil.
Bagaimanapun pada 16 Ogos 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya dilapor menggugurkan tujuh daripada 15 defendan itu.
Mereka ialah Che Lodin, Ismee, Gim Huat, Ashvin Jethanand, Shahrol Azral, Mohd Hazem dan Azmi.
Menerusi writ saman itu, kesemua plaintif antara lain mendakwa defendan melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan staturori, menyalahgunakan kuasa, berkonspirasi serta menyeleweng dana 1MDB.
Bagaimanapun pada 16 Ogos 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya dilapor telah menggugurkan tujuh daripada 15 defendan itu. – UTUSAN










