JAS tahan operasi premis cuci bekas bahan kimia terpakai haram

JAS tahan operasi premis cuci bekas bahan kimia terpakai haram

KAKITANGAN JAS mengenakan tindakan penahanan operasi kelengkapan terhadap sebuah kilang yang menjalankan aktiviti pembungkusan bahan kimia di Kawasan Perindustrian Sungai Petani., Kedah, hari ini,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesan sebuah premis yang disyaki menjalankan aktiviti pemerolehan kembali buangan terjadual iaitu bekas bahan kimia terpakai secara haram di Kawasan Perindustrian Sungai Petani, di sini.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, premis tersebut disyaki melepaskan efluen yang tidak mematuhi had ditetapkan berdasarkan kesan pada longkang di hadapan premis.  

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati premis itu menjalankan aktiviti pembungkusan bahan kimia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Premis itu menerima bekas-bekas bahan kimia terpakai, membersihkannya dan diisi dengan bahan kimia baharu sebelum dihantar kepada pembeli,” katanya di sini hari ini.

Menurut Sharifah Zakiah, bekas-bekas bahan kimia terpakai merupakan buangan terjadual dengan kod buangan SW 409 berdasarkan Jadual Pertama Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. 

“Sebarang aktiviti penstoran luar tapak atau pemerolehan kembali buangan terjadual (aktiviti pencucian bekas-bekas bahan kimia terpakai) memerlukan kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan kelulusan lesen di bawah Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974. 

“Pemerolehan buangan terjadual (aktiviti pencucian bekas-bekas bahan kimia terpakai) secara haram boleh menyebabkan berlakunya pencemaran bahan kimia atau logam berat kepada sumber air,” ujarnya. 

Katanya, premis berkenaan dikenakan tindakan penahanan operasi kelengkapan di bawah Seksyen 38 (1)(a) AKAS 1974 dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 18(1), Seksyen 34A(6) dan Seksyen 34B(1) akta sama.

Tambahnya, JAS akan terus meningkatkan pemantauan bagi mengesan sebarang aktiviti pemerolehan kembali buangan terjadual secara haram yang boleh menyebabkan pelbagai masalah pencemaran kepada alam sekitar dan masalah kesihatan kepada orang awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini