KUALA LUMPUR: Pas berpandangan kerajaan membazir dan membuang masa jika tidak menggunakan draf asal Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) yang sudah dilengkapkan parti itu semasa berada dalam Kabinet terdahulu.
Keputusan kerajaan jika menggunakan RUU355 versi berlainan tidak lebih sekadar motif politik, kerana Pas sudah melibatkan kesemua pemegang taruh untuk merealisasi akta berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan hanya perlu membawa RUU355 sedia ada untuk dibentang di Parlimen tanpa memerlukan sebarang pindaan baharu.
“Jika kerajaan tidak guna draf kami buat, ini membazir wang, tenaga dan menjadi politic scrap off. Mahu mula dari awal semula, sedangkan kami sudah buat konsultasi dengan negeri-negeri. Mahu buat versi baharu dan ulang benda yang sama apa gunanya?
“Kami sudah buat ikut lunas undang-undang, persiapannya seawal Jun 2020 sehinggalah bertukar kerajaan. Tetapi, usaha ini bersambung sehingga pada 7 Oktober 2022, Pejabat Peguam Negara (AGC) meluluskan draf yang sudah selesai yang mengambil kira semua pandangan dan layak dibentang di Parlimen,” kata Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu ketika ditemui di Parlimen, semalam.
Pada 17 Februari lalu, Pas meletakkan harapan kepada UMNO untuk merealisasikan penggubalan RUU255 memandangkan Pas bukan lagi berada dalam pentadbiran kerajaan.
Pada 18 Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar berkata, RUU355 kini di peringkat libat urus yang dilakukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), semua pemegang taruh termasuk majlis agama Islam negeri (MAIN).
Katanya, RUU355 akan dibawa semua ke Kabinet untuk mendapatkan keputusan dasar sebelum dibentang di Parlimen.
RUU355 dibentang melalui usul persendirian oleh Ahli Parlimen Marang daripada Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 26 Mei 2016, namun, perbahasannya tertangguh beberapa tahun sehingga tidak lagi timbul dalam mesyuarat Parlimen.
RUU 355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa menghukum bagi mahkamah syariah untuk kesalahan jenayah syariah, tanpa melibatkan masyarakat bukan Islam, namun, ia hanya di peringkat usul tanpa perbahasan.
Ia juga memperuntukkan pemberian dan penyeragaman bidang kuasa kepada mahkamah ditubuh di bawah mana-mana undang-undang negeri bagi maksud membicara kesalahan di bawah hukum syarak.
Pada 13 Mac 2023, Mohd. Na’im dilaporkan berkata, kerajaan menyediakan kertas Jemaah Menteri bagi mendapatkan keputusan dasar dalam menambah baik Akta 355 bagi memartabat perundangan syariah.
Pada 23 Mei 2023, Abdul Hadi dilaporkan mendakwa, usaha partinya merealisasi pindaan RUU355 mendapat tentangan daripada sebahagian UMNO dan Pakatan Harapan (PH) khususnya daripada DAP. – UTUSAN










