LIPIS : Isteri kepada Pengurus Felda Sungai Koyan maut selepas kereta dipandu suaminya terbabas sebelum melanggar penghadang jalan di Kilometer 2, Jalan Sungai Koyan-Raub dekat sini, semalam.
Nahas berlaku kira-kira pukul 6.30 petang ketika mangsa, Azlina Mohamed, 45, bersama suaminya, Mohd. Nazaruddin Abdullah, 50, yang menaiki kereta jenis Perodua Kancil sedang dalam perjalanan dari arah Raub menghala ke Sungai Koyan.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd, Noor berkata, polis menerima maklumat daripada Balai Polis Sungai Koyan pada pukul 6.30 petang berhubung kemalangan itu.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu oleh suami mangsa yang merupakan seorang pengurus Felda di sini dari arah Raub menuju ke Sungai Koyan.
“Setibanya di tempat kejadian, kereta itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar penghadang jambatan dan hampir terjunam ke bawah jambatan,” katanya di Ibu pejabat Polis Daerah di sini, hari ini.
Menurutnya, Azlina yang merupakan seorang suri rumah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan manakala suaminya yang mengalami kecederaan di kepala dibawa ke Hospital Lipis untuk rawatan.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila pemandu kereta yang gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN