SOALAN
Saya ibu kepada tiga anak. Saya tertanya-tanya kenapa anak-anak sekarang lebih suka menulis perasaan dan pengalaman di media sosial, tetapi susah sangat nak bercerita dengan ibu bapa?
Ibu dilema
JAWAPAN
Di era digital ini, media sosial menjadi saluran utama remaja berkongsi perasaan dan pengalaman.
Fenomena ini menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa yang risau tentang keselamatan anak-anak mereka.
Oleh itu, pendekatan lebih terbuka dan penuh kasih sayang amat diperlukan supaya anak-anak selesa untuk berkongsi. Berikut adalah beberapa tip yang boleh diamalkan ibu bapa:
a)Berkomunikasi – Luangkan masa dengan anak-anak dan ajak mereka bercerita atau berkongsi aktiviti harian. Jadikan suasana rumah tenang dan selamat untuk mereka meluahkan isi hati. Elakkan menghakimi atau memarahi anak ketika perkongsian itu agar mereka lebih selesa dan yakin untuk berbicara dengan ibu bapa.
b)Jadi pendengar – Usaha untuk menjadi pendengar yang aktif. Baik atau buruk penceritaan anak-anak, dengar dan fahami tanpa perlu memotong atau meremehkan cerita mereka. Tunjukkan minat dan empati agar mereka rasa didengari dan dihargai. Ibu bapa boleh menegur secara halus selepas perkongsian dilakukan.
c)Suri teladan anak – Belajar berkongsi perasaan dan pengalaman dengan anak-anak. Sikap terbuka ini bukan sahaja memberi contoh yang baik, tetapi juga menggalakkan anak-anak supaya lebih berani untuk berkongsi, sekali gus membina komunikasi sihat dan erat dalam keluarga.
d)Kawal penggunaan media sosial – Hadkan penggunaan media sosial anak-anak dan terangkan risiko berkongsi hal peribadi secara terbuka di media sosial yang boleh menjejaskan keselamatan mereka.
e)Kepercayaan dan sokongan – Sentiasa tunjukkan sokongan kepada anak-anak dan tidak meninggalkan mereka dalam apa jua situasi. Ini menguatkan ikatan kekeluargaan dan membuat anak lebih yakin untuk berbual dengan ibu bapa.
Pendekatan yang penuh kasih sayang ini bukan sahaja memperkukuh hubungan kekeluargaan dan membina kepercayaan antara ibu bapa dan anak, malah menjadikan mereka lebih menghargai ibu bapa.









