Dibesarkan dalam rumah dan kasih sayang sama tidak menjamin hubungan adik-beradik yang berkekalan.
Hubungan itu boleh jadi retak dan renggang disebabkan banyak faktor.
Ini termasuk isu harta pusaka, salah faham, cemburu dan kehilangan ibu bapa yang mungkin membawa pergi sekali kasih sayang antara adik-beradik yang dahulunya erat.
Tetapi apabila mereka sedar tiada pengganti untuk hubungan adik-beradik, kasih yang retak boleh disatukan kembali.
Minggu ini saya kongsikan kisah dua beradik Mokhtar dan Sufian (bukan nama sebenar) yang pada awalnya rapat, namun akhirnya renggang disebabkan hutang.
Segala-galanya berubah selepas Mokhtar bersetuju menjadi penjamin Sufian.
Awalnya niat hanya mahu membantu, namun siapa sangka, hutang tertunggak menghakis kepercayaan dan kasih sayang adik terhadap abang.
Dalam kiriman email kepada saya baru-baru ini, Mokhtar tidak berniat untuk mengungkit atau berkongsi kisah lalu, tetapi lebih kepada peringatan kepada diri sendiri.
Memulakan ceritanya, kata Mokhtar, dia merupakan anak ketiga daripada empat beradik, dengan Sufian merupakan abang sulung dan paling rapat dengannya.
Suatu hari, abangnya meminta bantuan menjadi penjamin bagi pinjaman bank untuk memulakan perniagaan.
Menurut Mokhtar, ketika itu dia baru tujuh bulan bekerja di sebuah agensi kerajaan.
“Ketika abang meminta menjadi penjamin, saya tolak secara baik. Saya tahu banyak risikonya.
“Saya beritahu abang tentang perancangan masa depan saya termasuk ingin mendirikan rumah tangga.
“Namun abang tidak pernah berputus asa dan berkali-kali cuba memujuk,” tulis Mokhtar.
Tetapi segala-galanya berubah apabila ibu sendiri dari kampung datang memujuknya dengan penuh harapan dan emosi.
Di awalnya, dia tetap teguh dengan pendirian, tetapi melihat ibu sendiri merayu, Mokhtar terpaksa akur.
Dia setuju, walaupun dalam hati timbul perasaan takut.
Katanya, selepas pinjaman diluluskan, abangnya berhijrah ke sebuah daerah di utara tanah air untuk membuka restoran.
Abang turut membawa bersama isteri dan dua anaknya yang berusia tiga dan lima tahun.
Perniagaan abangnya berjalan lancar pada tahun pertama.
Tulis Mokhtar, sebagai adik dia tumpang gembira dengan kejayaan abangnya itu, namun langit tidak selalu cerah.
Dalam sibuk menguruskan perniagaan, Sufian mula rapat dengan seorang wanita .
Tanpa diduga abangnya terjerat dan jatuh cinta dengan wanita berstatus janda anak dua itu.
Abangnya mula lupa anak isteri termasuk tanggungjawab untuk melunaskan bayaran bulanan pinjaman.
Paling mengejutkan apabila Sufian mengambil keputusan menceraikan isteri pertama yang dahulunya bersusah payah bersama.
“Selepas diceraikan, saya menjadi tempat mengadu bekas kakak ipar dan anak saudara.
“Saya dapat tahu abang langsung tidak memberi nafkah kepada anak-anak dan bekas kakak ipar terpaksa menanggung semuanya seorang diri termasuk makan, minum, pakai serta persekolahan zuriat mereka,” tulisnya.
Sebagai adik, hati siapa yang tidak remuk melihat keluarga abang sendiri terbiar.
Paling menyakitkan, bukan ketika abang menceraikan isterinya, tetapi ketika surat menuntut bayaran dari bank sampai.
Pihak bank mula menghubunginya kerana abang gagal membayar ansuran pinjaman seperti dijanjikan.
“Paling saya geram, pihak bank tidak lagi bertanya siapa peminjam tetapi penjamin, Seolah-olah saya yang perlu bertanggungjawab sepenuhnya,” tulisnya.
Sepanjang tempoh itu juga, Mokhtar cuba menghubungi abangnya, namun panggilannya tidak pernah dilayan.
Sehinggalah pada suatu hari dia datang ke rumah Sufian di utara tanah air dan mereka bergaduh besar.
Sejak itu, hubungan mereka putus dan abang terus menghilangkan diri sepenuhnya.
Nombor telefon ditukar dan berpindah rumah tanpa jejak.
Hari-hari penting termasuk sambutan hari raya juga abang tidak pulang.
“Seingat saya, hampir tujuh tahun abang tidak pulang ke kampung,” tulisnya.
Sejak abangnya menghilangkan diri, dia juga terpaksa menanggung bebanan hutang yang dibuat.
Setiap bulan dia membayar sebanyak RM1,000 kepada bank melalui potongan gaji.
Bulan demi bulan, potongan tetap berjalan.
“Setiap bulan tanpa gagal, potongan gaji saya berjalan. Wang yang sepatutnya untuk diri sendiri, kini terpaksa digunakan untuk membayar hutang orang yang saya percaya,” ujarnya.
Sepanjang tempoh itu, Mokhtar terpaksa mengurangkan perbelanjaan selain menangguhkan apa yang dirancang sebelum itu.
Ini termasuk hasrat untuk membeli rumah dan berkahwin.
“Ketika itu saya berasa tertekan dan dikhianati oleh abang sendiri,” ujarnya.
Tujuh tahun berlalu kata Mokhtar, dia mula reda.
Dalam email itu lagi, Mokhtar menulis, apa yang dilalui tidak pernah diceritakan kepada ibunya.
Dia tidak mahu merisaukan ibu dan menjatuhkan maruah abang yang menjadi anak kesayangan serta harapan.
“Saya tidak pernah membuka cerita sebenar kepada emak yang setiap bulan gaji dipotong kerana hutang yang bukan saya buat dan apa sahaja cerita buruk tentang abang,” tulisnya.
Tambahnya, setiap kali ibu bertanya tentang abang, dia hanya memberi alasan mungkin Sufian sibuk dengan perniagaannya.
Walaupun dia tahu jauh di sudut hati ibunya terluka dan menyimpan rindu kepada abang.
Mokhtar menulis, setiap sujudnya dia tidak lupa mendoakan suatu hari nanti abangnya pulang.
Bukan untuk melangsaikan hutang, tetapi pulang sebagai bapa, abang dan anak kepada seorang ibu yang merindukannya.
“Saya berharap abang pulang dengan keinsafan dan kesedaran. Jika benar-benar abang mahu berubah, keluarga ini pasti akan menerimanya,” tulisnya.
Sesungguhnya, Islam amat menitikberatkan hubungan baik dan menjaga hubungan silaturahim sesama adik-beradik.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Barang siapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menyambung hubungan silaturahim,’’ (Riwayat Bukhari dan Muslim).










