NEW DELHI: Kerajaan India pimpinan Parti Bharatiya Janata (BJP) didakwa mengusir penduduk beragama Islam dari negara itu ke Bangladesh secara haram, mencetuskan kebimbangan terhadap kempen penindasan yang semakin meningkat terhadap masyarakat minoriti berkenaan.
Menurut kumpulan hak asasi manusia, ribuan umat Islam yang disyaki sebagai pendatang asing dari Bangladesh ditahan oleh pihak berkuasa India sejak beberapa minggu lalu, dengan ramai antara mereka didakwa tidak diberikan proses perundangan yang sewajarnya sebelum dihantar ke negara itu.
Menurut peguam dan mangsa terlibat, terdapat rakyat India sendiri yang menjadi mangsa pengusiran haram ini dan mereka yang cuba melawan diugut dengan senjata api oleh Pasukan Keselamatan Sempadan India (BSF).
Seramai 200 orang sudah dikembalikan semula ke India oleh pihak berkuasa Bangladesh selepas didapati memiliki dokumen kewarganegaraan India yang sah.
Kementerian Luar Bangladesh juga sudah mengutus surat rasmi kepada kerajaan India supaya menghentikan penghantaran warga asing tanpa proses semakan seperti yang diamalkan sebelum ini, namun tidak mendapat sebarang maklum balas.
Tindakan keras terhadap apa yang digelar sebagai pendatang haram dari Bangladesh semakin dipergiat sejak insiden serangan militan di wilayah Kashmir pada April lalu yang mengorbankan 25 pelancong Hindu dan seorang pemandu pelancong, yang kemudiannya disusuli janji kerajaan BJP untuk mengusir semua orang luar.
Ketegangan memuncak apabila India melancarkan Operasi Sindhoor pada Mei lalu, termasuk serangan terhadap Pakistan, negara jiran majoriti Islam yang didakwa menjadi dalang kepada serangan di Kashmir.
Sepanjang 11 tahun pemerintahan BJP, kerajaan pimpinan Narendra Modi sering dikritik kerana dituduh menindas dan meminggirkan 200 juta umat Islam India di bawah dasar nasionalisme Hindutva yang radikal.










