PETALING JAYA: Pemain industri lebih berminat memilih hasil penyelidikan asing sekali gus menyebabkan banyak kajian penyelidikan institut pengajian tinggi (IPT) tempatan dipandang sepi walaupun berkualiti tinggi.
Antaranya sistem pengurusan banjir dan bencana alam yang dilihat masih mendapatkan kepakaran negara luar sedangkan universiti awam banyak menghasilkan kertas-kertas penyelidikan berhubung topik tersebut.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, kecenderungan industri dengan kepakaran luar negara menjadi punca kajian penyelidikan tempatan ketinggalan meskipun banyak dana diperuntukkan dalam melonjakkan pertumbuhan pelbagai sektor dalam negara ini.
Beliau melihat hasil penyelidikan Malaysia tidak akan ketinggalan sekiranya dimanfaatkan dan dikomersialkan serta boleh menyelesaikan pelbagai masalah.
“Universiti-universiti tempatan saban tahun banyak melahirkan produk dan kajian, tetapi mengapa pihak industri tidak melihat perkara ini terlebih dahulu? Adakah penyelidikan tidak setanding sedangkan ia merupakan hasil inovasi penyelidik tempatan yang lebih memahami situasi semasa.
“Berbanding kajian luar negara, bukan sahaja meningkatkan kos tetapi kadangkala produk tersebut tidak memenuhi kehendak negara ini sekali gus tidak mampu menyelesaikan masalah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan banyak pihak mempersoalkan kejayaan daripada RM1.2 bilion dana penyelidikan yang diperuntukkan kerajaan sejak tiga tahun lalu dalam melonjakkan pertumbuhan pelbagai sektor di negara ini.
Laporan Harta Perbadanan Intelek (MyIPO) menunjukkan hanya 1,806 produk penyelidikan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) didaftarkan atau dipatenkan sejak 2018 sehingga Ogos 2023.
Kementerian serta agensi kerajaan pula telah menghantar 1,127 produk penyelidikan untuk didaftarkan atau dipatenkan dalam tempoh sama.
Abdul Rahman berkata, tiada usaha untuk menguar-uarkan hasil penyelidikan tempatan juga mendorong Malaysia agak ketinggalan dalam pembangunan produk baharu berbanding negara maju sehingga menggagalkan usaha melonjakkan ekonomi terutama dalam sektor baharu.
“Malah ada industri tidak tahu langsung kajian universiti awam sehingga mereka pergi ke luar negara dan membawa masuk teknologi yang menelan kos tinggi,” katanya.
Katanya, semua pihak sama ada IPT tempatan dan industri perlu bekerjasama bagi memastikan hasil kajian dan penyelidikan dapat dikomersialkan dan memberi manfaat kepada negara.
Beliau menambah, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi boleh mengalas tugas sebagai platform tunggal untuk memasarkan kajian penyelidikan tempatan kepada pemain industri kerana ia boleh menjana pendapatan negara dan universiti awam.
Dalam pada itu, bekas Pengerusi Majlis Presiden Persatuan Akademik (MPPA), Ahmad Faisal Mohamed Fiah berpendapat, semua penyelidikan mempunyai manfaat kepada negara atau menambah baik perancangan kementerian.
Atas sebab itu, katanya, ada sesetengah penyelidikan mempunyai manfaat tujuan khusus yang tidak dapat dilihat oleh masyarakat.
“Tujuan itu pelbagai dan tidak semestinya golongan masyarakat. Kajian-kajian ini ada beberapa sasarannya. Kajian bidang sains sosial lebih melibatkan masyarakat, tetapi tidak bidang sains tulen atau kejuruteraan yang lebih kepada aspek teknikal dan inovasi.
“Malah, perbelanjaan agak besar bergantung kepada saiz penyelidikan, tujuan, peralatan dan itu menyebabkan ia kelihatan agak besar,” katanya.
Oleh itu, katanya, kerajaan pada masa sama diharap dapat terus meningkatkan lagi dana penyelidikan kerana perlu dilihat sebagai modal yang membawa pulangan besar kepada semua.
“Kita perlu tingkatkan lagi jumlahnya sebab kajian-kajian ini sudah semakin berkembang dengan banyak lagi ruang serta aspek yang perlu dikaji dan diteliti dalam bidang-bidang pengkhususan kritikal.
“Universiti juga mungkin boleh menunjukkan kajian yang dijalankan itu kepada masyarakat supaya ia tidak berakhir ibarat syok sendiri atau hanya difahami golongan akademik semata-mata,” katanya. – UTUSAN










