REMBAU: Tahun ini menjadi tahun lebih bermakna buat ibu kepada sembilan orang anak apabila dia menerima bantuan untuk menduduki rumah kerajaan di bawah Program Perumahan Masyarakat Setempat (PPMS) di Kampung Seri Kendong, di sini.
Yusnita Baharuddin, 43, berkata, sebelum ini dia hanya menyewa rumah di kampung yang sama dengan bayaran RM200 sebulan dan tiga anaknya terpaksa menumpang di rumah keluarga yang lain di Rumah Rakyat Kendong memandangkan rumah sewa tersebut hanya mempunyai sebuah bilik sahaja.
Menurutnya, lapan tahun lalu dia memohon kepada Pejabat Daerah Rembau untuk diberikan penempatan memandangkan lapan anak hasil perkahwinannya terdahulu semakin meningkat dewasa sedangkan dia hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah yang kecil.
“Alhamdulillah, minggu ini saya terima panggilan memaklumkan permohonan saya untuk duduki rumah kerajaan lulus. Seronok sangat kerana rumah ini memiliki tiga bilik, dulunya saya terpaksa memasang tirai di dalam bilik sewa bagi membezakan tempat tidur anak lelaki dan perempuan.
“Kali ini juga, semua anak saya iaitu lima lelaki dan empat perempuan berusia setahun hingga 23 tahun dapat menyambut Ramadan bersama, dahulunya kami sambut Ramadan dan hari raya di rumah keluarga yang lain,” katanya pada Majlis Penyerahan Rumah PPMS di Kampung Seri Kendong, di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Suhaimi Aini hadir menyempurnakan simbolik penyerahan rumah berkenaan.
Sementara itu, Pegawai Daerah Rembau, Mohd. Zamri Mohd. Esa berkata, secara keseluruhannya terdapat 29 rumah di bawah PPMS di daerah ini dan individu yang dibenarkan menetap di rumah berkenaan adalah terdiri daripada kelompok miskin.
Menurutnya, bagi rumah yang diberi kepada Yusnita, peserta terdahulu sudah meninggal dunia dan keputusan individu layak untuk menduduki rumah berkenaan mengambil kira kriteria utama iaitu berdaftar dalam sistem pengkalan data keluarga miskin (eKasih).
“Bagaimanapun kami akan membuat penilaian dari semasa ke semasa berhubung kelayakan menduduki rumah ini kerana ada penerima yang sudah memasuki dua generasi menetap di rumah berkenaan.
“Secara keseluruhannya pada tahun lalu sebanyak 16 permohonan rumah diterima dan tujuh diluluskan di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Yusnita pula diberikan kebenaran menetap di PPMS,” katanya. – UTUSAN










