Fenomena El Nino yang sedang melanda Perlis menyaksikan pokok-pokok di hutan dan bukit batu kapur bertukar warna keperangan, merah dan kuning sekali gus memberi pemandangan baharu memukaukan di negeri ini.
Pokok kayu jenis dipterokarpa pamah seperti meranti, merawan, cengal dan mersawa di hampir semua bukit batu kapur bertukar keperangan dan luruh ekoran tidak menerima hujan lebih 30 hari lalu sebelum dijangka berputik kembali pada awal April.
Pengasas Perlis Nature Xplorer (PNX), Syamil Abd. Rahman berkata, ini kerana pokok-pokok di hutan dan bukit batu kapur itu tidak mendapat sumber air mencukupi kerana ketiadaan hujan sejak sebulan lalu.
Akibatnya, proses penghasilan makanan (nutrien) tidak dapat dijalankan untuk mengekalkan warna hijau iaitu klorofil meskipun cahaya matahari memancar setiap hari sebagai sebahagian daripada keperluan proses itu.
Tahun ini, fenomena El Nino dijangka melanjutkan tempoh perubahan suhu panas yang dijangka sehingga April. – UTUSAN










