PETALING JAYA: Kenaikan kadar Cukai Perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus ke atas bil elektrik hanya membabitkan mereka yang menggunakan lebih daripada 600kWj sahaja.
Ini bermakna kira-kira 85 peratus pengguna elektrik tidak akan terlibat dengan kenaikan cukai mulai 1 Mac ini kerana mereka berada di luar ambang ini.
“Bagi perkhidmatan elektrik, Cukai Perkhidmatan hanya dikenakan ke atas kadar penggunaan lebih daripada 600kWj.
“Hampir 85% pengguna elektrik berada di bawah ambang ini, dan tidak terkesan dengan kenaan Cukai Perkhidmatan ini,” kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam kenyataan malam ini
Selain itu kata beliau, kenaikan kadar Cukai Perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus yang berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024 menumpukan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan (‘discretionary’) dan aktiviti antara perniagaan (‘business-to-business’; B2B).
Katanya, ini bagi memastikan rakyat tidak dibebani dengan kadar cukai kepenggunaan yang lebih tinggi khususnya dalam perkhidmatan keperluan penting seperti makanan dan minuman, parkir kenderaan, telekomunikasi serta logistik.
“Bagi menjayakan transformasi ekonomi, Kerajaan mengambil pendekatan yang berhati-hati dalam usaha mereformasi sistem percukaian negara.
“Meskipun adanya keperluan untuk mengembangkan hasil negara, Kerajaan perlu menimbangkan ini dengan mengambil kira keperluan melindungi rakyat daripada beban berlebihan,” katanya.
Katanya, sebagai contoh, perkhidmatan yang banyak digunakan oleh rakyat seperti makanan dan minuman, telekomunikasi dan caj letak kenderaan kekal dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus.
“Ini termasuklah perkhidmatan logistik yang akan dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus Bagi perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman, Cukai Perkhidmatan tidak akan dikenakan.
“Cukai Perkhidmatan juga tidak akan dikenakan kepada perkhidmatan air dirawat,” jelasnya. UTUSAN










