PASIR PUTEH: Lebih 30 pesawah bendang Gong Manak di sini membuat kenduri gulai kawah sebagai tanda kesyukuran kerana tanaman padi di kesemua 175 hektar sawah di kampung itu ‘menjadi’ walaupun hanya mengharapkan taburan hujan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Bendang Deraman Abas berkata, sebanyak tiga kawah gulai daging lembu dimasak secara bergotong-royong untuk dijamu kepada penduduk setempat hasil sumbangan salah seorang petani terlibat.
Menurutnya, selain itu Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Semerak turut menyumbang 300 ekor ikan keli sebagai tanda sokongan.
“Alhamdulillah, tahun ini padi menjadi. Sudah tiga musim padi yang diusahakan sebelum ini tidak menjadi kesan kemarau dan tiada kemudahan sistem pengairan.
“Petani di bendang ini hanya mengharapkan hujan. Pada masa sama, kami turut bergantung sepenuhnya kepada sumber air dari sungai berdekatan,” katanya.
Deraman berkata, kebanyakan petani terpaksa menanggung bebanan hutang apabila hasil padi tidak menjadi disebabkan kemarau.
Pada masa sama, mereka berharap kerajaan dapat menyediakan sistem saliran supaya pesawah di sini dapat memainkan peranan sebagai penyumbang kepada bekalan makanan negara.
“Jika ada sistem pengairan yang lengkap, kawasan sawah seluas 175 hektar mampu membantu mencukupkan bekalan makanan negara pada masa hadapan,” ujarnya.
Seorang petani, Izani Ismail, 57, berkata, sebahagian pemilik tanah sawah sudah beralih kepada tanaman kelapa sawit kesan ketiadaan sistem pengairan yang sering menyebabkan mereka kerugian.
“Banyak lagi tanah sawah di sini akan ditebus guna untuk tanaman lain jika sekiranya petani gagal mendapatkan kemudahan tali air,” ujarnya. – UTUSAN










