PUTRAJAYA: Festival pencahayaan edisi khas, Festival Lentera: Sisiran Tasik Putrajaya 2024 yang dibuka mulai malam ini hingga 3 Mac depan menyasarkan 1.5 juta pengunjung.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, festival julung kali itu berlangsung di Anjung Floria, Presint 4, di sini dan dibuka bermula pukul 5 petang hingga 11 malam.
Beliau berkata, Festival Lentera itu diadakan bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2024 dan Ulang Tahun Penubuhan Perbadanan Putrajaya yang ke-28 iaitu pada tanggal 1 Mac.
“Berkonsepkan ’Tradisi & Cahaya’, keunikan dan identiti festival ini adalah pertunjukan pencahayaan ‘Grand Light Symphony’ dan ’Musical Fountain’ di Tasik Putrajaya.
“Festival ini turut dimeriahkan dengan elemen pertunjukan kebudayaan tradisional Melayu, Cina, India dan Borneo yang dibawakan oleh pasukan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
“Ia turut disertai komuniti Putrajaya, selain dekorasi pencahayaan di atas air seperti pertunjukan bot-bot berhias bercahaya,” katanya.
Katanya, lebih 30 komponen dekorasi pencahayaan disajikan kepada pengunjung antaranya Lil’ Lumin’s Land, Laman Komuniti Putrajaya, Laman Melayu, Laman China, Little India, Laman Retro, English Garden, Laman Dulu-Dulu.
Jelasnya lagi, turut disajikan termasuk Jurassic Reverie, Enchanted Arbor, Tetris Harmony, Atma Kirana, Lumina Matrix, Algorithmic Aurora, Fantasy Garden, Panda Garden, Tree of Life, Lollipop Garden, Heart Shape Tunnel, Blue Tunnel, Avatar Trees, Aurora River, Misty Forest, Firefly Garden, dan Paddy Field.
Di samping itu, lebih 20 acara sampingan turut dianjurkan antaranya Pertandingan Kreativiti 3R, Petting Zoo, Kampung Beca, Persembahan Kebudayaan, Persembahan Band Buskers, Wayang Kulit, Wayang Pacak, Pertunjukan Remote Control Aircraft Bercahaya, Paraglider Bercahaya, Zumba Glow in the Dark dan teksi air.
Pelbagai kemudahan turut disediakan di lokasi penganjuran termasuk tempat letak kenderaan percuma, tandas, surau, Food Valley (60 gerai makanan dan minuman), Food Truck (30 peniaga) dan Coffee Fiesta (10 gerai).
Tiket masuk ke Festival Lentera boleh diperolehi secara dalam talian dan di pintu masuk dengan harga RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun dan warga emas.
Manakala, bagi bukan warganegara pula, harga tiket adalah RM30 (dewasa) dan RM15.00 (kanak-kanak 4 hingga 12 tahun). –UTUSAN










