JERAI: Cuaca panas yang melanda Kedah ketika ini menjadikan Gunung Jerai, di sini sebagai lokasi tumpuan ramai terutama mereka yang berkeluarga bagi menghabiskan masa sempena musim cuti sekolah.
Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan itu mendapati, orang ramai mula membanjiri lokasi tersebut bermula 7.30 pagi hingga 9 malam setiap hari untuk merasai suasana dingin di puncak gunung yang mencatatkan suhu antara 20 hingga 25 darjah Celsius.
Menurut Pengurus Besar PKNK Hotel Sdn. Bhd., Mohd. Salim Sulaiman, kawasan pelancongan itu mencatatkan kunjungan antara 2,000 hingga 2,500 orang setiap hari sepanjang cuti persekolahan ini.
“Cuaca di Gunung Jerai sekarang agak dingin dan berangin iaitu suhu di bawah 25 darjah Celsius. Disebabkan cuaca di Kedah sekarang agak panas jadi ramai pengunjung memilih datang ke sini setiap hari.
“Ketika cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini pun kedatangan meningkat sehingga 3,000 pengunjung. Banyak yang membawa keluarga untuk bersantai dan menghirup udara segar di gunung,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurut beliau, jumlah kehadiran orang ramai semakin bertambah pada hujung minggu bermula Jumaat hingga Ahad sehingga mengakibatkan kesesakan sepanjang pendakian ke puncak.
“Oleh itu kita selalu nasihatkan orang ramai supaya menggunakan van sewa di kaki gunung untuk naik ke atas bagi mengurangkan kesesakan kerana jumlah tempat letak kereta di atas terhad,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Azim Mahmud, 40, dari Baling, mereka sekeluarga memilih untuk beriadah di Gunung Jerai kerana cuacanya yang dingin berbanding lokasi lain.
“Nak pergi jalan tempat-tempat lain tidak berdaya kerana cuaca panas sangat lagipun ada anak kecil tentu mereka tak selesa. Saya empat beranak sampai ke sini pukul 10 pagi dan bersantai selama tiga jam, cuaca masih panas tetapi dingin jadi seronok berjalan-jalan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abd. Aziz berkata, cuaca panas yang melanda Kedah ketika ini dijangka beransur pulih menjelang April nanti.
“El Nino di Kedah ketika ini semakin melemah berbanding beberapa minggu lepas. Suhu yang kita catatkan sekarang adalah kurang daripada 35 darjah Celsius berbanding minggu lepas sehingga 37 darjah Celsius.
“Kita menjangkakan menjelang April nanti cuaca akan kembali neutral dan dijangka mula merasai taburan hujan,” jelasnya ketika dihubungi. – UTUSAN










