Dua kapal persiaran terkenal berlabuh di Pulau Pinang

Dua kapal persiaran terkenal berlabuh di Pulau Pinang

DUA kapal persiaran terkenal, Genting Dream dan Royal Caribbean Spectrum of the Seas kelihatan berlabuh di Terminal Swettenham Pier Cruise, di George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kehadiran dua buah kapal persiaran terkenal iaitu Genting Dream dan Royal Caribbean Spectrum of the Seas yang berlabuh di Terminal Swettenham Pier Cruise, di sini semalam disambut baik oleh kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, kehadiran kapal-kapal bersaiz mega itu pasti memberikan pengalaman baharu kepada pelancong yang melawat Pulau Pinang menerusi kapal persiaran.

“Syarikat kapal persiaran utama telah memperkenalkan pelayaran yang direka bentuk secara inovatif untuk memenuhi pelbagai pilihan perjalanan pelancong.

“Selain Genting Dream dan Royal Caribbean Spectrum of the Seas yang baharu berlabuh, Royal Caribbean akan memperkenalkan Utopia of the Seas pada Julai depan,” katanya di sini, hari ini.

Hon Wai turut meluangkan masa mengunjungi Terminal Swettenham Pier Cruise untuk meninjau kedua-dua kapal persiaran yang berlabuh di situ.

Kapal persiaran, Genting Dream memiliki 18 dek dan mampu memuatkan sehingga 3,352  penumpang manakala Royal Caribbean Spectrum of the Seas pula yang disenaraikan dalam 30 kapal persiaran terbesar di dunia mempunyai 14 dek yang dapat memuatkan sehingga 5,622 penumpang.

Menurut Hon Wai, syarikat kapal persiaran, Princess Cruises juga akan melancarkan pelayaran Sun Princess manakala Disney Cruise Line pula merancang untuk memperkenalkan pelayaran Disney Treasure yang bertemakan pengembaraan pada Disember tahun ini.

WONG Hon Wai (tiga dari kanan) mendengar penerangan daripada kapten kapal persiaran, Genting Dream yang berlabuh di Terminal Swettenham Pier Cruise, di George Town, Pulau Pinang.

“Memandangkan Pulau Pinang terus berkembang sebagai destinasi pelancongan pelayaran, kerajaan negeri terus komited untuk memupuk perkongsian dengan syarikat pelayaran, pengendali pelancongan dan pihak berkepentingan untuk meningkatkan pengalaman pelancong kapal persiaran secara keseluruhan,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Hon Wai, adalah menjadi matlamat kerajaan negeri untuk mempamerkan layanan terbaik kepada para pelancong yang datang ke negeri ini.

“Ia bagi memastikan setiap pelancong termasuk pelancong yang melawat menerusi kapal persiaran memperoleh kenangan indah dan mempunyai keinginan untuk kembali melawat negeri ini,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN