PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad masih dalam proses pemulihan setelah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), sejak 26 Januari lalu.
Perkara itu dimaklumkan menerusi akaun aplikasi X Dr. Mahathir.
Dalam gambar yang dimuat naik di dalam akaun itu memaparkan negarawan tersebut sedang membaca beberapa akhbar termasuk Utusan Malaysia di samping membuat catatan.
“Tun Dr. Mahathir Mohamad kini sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), sejak 26 Januari 2024. Beliau masih lagi dalam proses pemulihan,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, tular dalam platform media sosial berhubung kesihatan Dr. Mahathir sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi daripada orang ramai. – UTUSAN










