PASIR MAS: Cuaca tidak menentu yang melanda Kelantan ketika ini menyaksikan penoreh getah hilang punca pendapatan sekali gus menyebabkan mereka terpaksa mengikat perut sejak tiga bulan lalu.
Rata-rata penoreh mengakui musim tengkujuh merupakan detik sukar apabila ada dalam kalangan mereka terpaksa membuat kerja sambilan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohamad Shamsuddin Mamat , 60, berkata, sepanjang tempoh sukar itu, dia terpaksa berjimat cermat untuk memastikan anak-anak tidak kelaparan.
“Mujurlah ada bantuan MyKasih daripada kerajaan bernilai RM100, boleh gunakan untuk membeli barangan keperluan dapur.
“Sepanjang tempoh sukar ini, saya ada membantu isteri menjual kuih, namun perniagaan kecil-kecilan itu bergantung kepada tempahan yang diterima. Nak kerja sebagai tukang rumah agak sukar kerana peluangnya terhad,” katanya ketika ditemui di Kampung Kepas Apam di sini semalam.
Mohamad Shamsuddin memberitahu, adakalanya dia terpaksa keluar menoreh walaupun di musim tengkujuh bagi memastikan kantung kewangannya tidak terus ‘kempis’.
Katanya, walaupun getah bercampur air hujan, namun dia tidak mempunyai pilihan.
Seorang lagi penoreh, Wan Md. Zuhaidi Ismail, 58, memberitahu, pendapatannya turut merosot kesan daripada musim tengkujuh.
Katanya, selain cuaca harga pasaran getah yang tidak menentu turut memberikan kesan kepada golongan penoreh.
“Jadi saya amat berharap kepada pihak kerajaan dapat melakukan sesuatu untuk membantu melonjakan lagi harga getah,” ujarnya. – UTUSAN










