KANGAR: Pengeluaran hasil mempelam harumanis musim ini dijangka meningkat berbanding tahun lalu berikutan keadaan cuaca panas berterusan di Perlis.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razali Saad berkata, pada musim ini, pengeluaran mempelam harumanis dijangka boleh mencecah sehingga 1,200 tan metrik berbanding tahun lalu, 1,189 tan metrik.
Katanya, berdasarkan prestasi semasa, 60 peratus pokok mempelam harumanis sekitar negeri ini juga telah berbunga dan bakal mengeluarkan hasil pertengahan April depan.
“Kemungkinan akan ada juga sedikit lagi pertambahan hasil direkodkan selepas ini berikutan masih terdapat pokok-pokok yang diusahakan kelihatan berpotensi untuk berbunga,” katanya.
Mengulas lanjut, Razali berkata, pihaknya menjangkakan harga buah mempelam harumanis pada musim ini sekitar RM35 sekilogram bagi gred A.

Ujarnya, kerajaan negeri juga mengharapkan pengusaha agar tidak mengambil kesempatan dengan memasarkan buah berkenaan pada harga tinggi bagi meraih keuntungan mudah.
“Saya telah arahkan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk turun padang bagi memantau harga buah mempelam pada musim ini,” katanya.
Dalam pada itu, Razali berkata, pihaknya juga menyarankan agar pengusaha harumanis dapat menggantikan pokok-pokok mereka yang berusia dan melakukan tanaman semula bagi menjamin hasil pada masa hadapan.
Beliau berkata, pengusaha yang berhasrat melakukan tanaman semula boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian negeri khususnya membabitkan aspek jarak kedudukan antara tanaman pokok mempelam harumanis.
“Jabatan Pertanian juga mengambil langkah bagi membantu pengusaha mempelam harumanis dalam membasmi serangan serangga pada tanaman mereka,” katanya.-UTUSAN










