Contohi elemen pemimpin terdahulu, usah diheret kerakusan

Contohi elemen pemimpin terdahulu, usah diheret kerakusan penjajah – PM

ANWAR Ibrahim hadir ke Sambutan Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Ke-68 bersama Ab. Rauf Yusoh di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Para pemimpin negara hari ini diingatkan untuk mencontohi tokoh-tokoh kemerdekaan yang tidak terlibat dengan salah laku dan amalan negatif yang boleh merosakkan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, generasi sekarang perlu menghargai nikmat dan jasa dicurahkan pemimpin terdahulu.

Beliau berkata, mereka sanggup menggadai nyawa, harta benda untuk mencari kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

“Kita adalah generasi yang kenang jasa. Kita tahu kita tidak akan ada di sini mengecapi nikmat, kalau tidak kerana jasa tokoh-tokoh besar kita dahulu.

“Ini juga adalah peringatan kepada pemimpin-pemimpin yang memikul amanah sekarang supaya belajar daripada elemen dan ciri positif yang baik daripada mereka dan tidak terheret dengan amalan kerakusan, keangkuhan, kegelojohan (seperti) pegawai-pegawai penjajah,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Ke-68 di Banda Hilir di sini, hari ini.

SUASANA ribuan pengunjung hadir bagi menyaksikan peristiwa bersejarah Sambutan Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Ke-68 di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, Melaka. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD

Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Tambah Anwar, Perlembagaan negara yang digubal pemimpin terdahulu tidak pernah merendahkan sumbangan kaum lain.

Menurutnya, ini kerana kaum lain turut diiktiraf sebagai warganegara yang sah di Tanah Melayu dan bersama-sama memperjuangkan kemerdekaan.

“Rakyat harus tahu merdeka itu dengan kekuatan orang-orang Melayu, itu benar. Tapi mereka juga bekerjasama dengan rakan-rakan kita (dari) masyarakat Cina dan India yang bersatu padu menebus maruah yang dikuasai dan dihina oleh penguasa asing.

“Terasnya masih Melayu tapi tidak pernah disebut maksud untuk meremehkan hak dan darjat atau menghina mereka. Ini pengajaran yang penting bagi negara kita,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN