Cinta Gaza Malaysia sumbang RM7 juta bina semula Gaza

Cinta Gaza Malaysia sumbang RM7 juta bina semula Gaza

Kanak-kanak Palestin menjadi pelarian di Rafah akibat serangan tentera Israel yang mengorbankan ibu bapa dan juga memusnahkan kediaman mereka di Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cinta Gaza Malaysia (CGM) menyumbangkan dana RM7 juta hasil sumbangan rakyat Malaysia bagi melaksana pembangunan semula Semenanjung Gaza yang kini mengalami kemusnahan luar biasa akibat kekejaman rejim Zionis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Nadir Al Nuri Kamaruzzaman berkata, dana tersebut merangkumi tiga sektor termasuk membaik pulih sebuah sekolah di wilayah bergolak tersebut.

“Sebanyak RM4 juta diperuntukkan untuk membaik pulih sekolah CGM di Bandar Wakaf Malaysia yang mengalami kerosakan teruk akibat dibedil tentera Israel sebelum ini.

“CGM juga memperuntukkan RM2 juta untuk perolehan barang bantuan kemanusiaan ke Gaza manakala RM1 juta lagi akan digunakan untuk projek baik pulih rumah dan kegunaan kecemasan lain bersama NGO (pertubuhan bukan kerajaan) Hayat Yolu dari Turkiye,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, projek pembangunan semula Gaza diselaraskan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dengan mensasarkan sebanyak mungkin dana termasuk cadangan membina sebuah hospital ihsan di wilayah tersebut.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Nadir berkata, CGM sudah menyalurkan dana sebanyak RM7.4 juta sejak perang antara Palestin-Israel meletus di Gaza pada 7 Oktober tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu hampir RM3 juta disalurkan dalam bentuk kewangan kepada rakyat Palestin bagi membolehkan mereka membeli barangan keperluan dan bekalan makanan mengikut kesesuaian masing-masing.

“CGM juga menyalurkan beberapa bantuan lain antaranya bekalan bahan api berjumlah RM80,370; alat kelengkapan penyelamat (RM148,292.43); perubatan (RM453,625.20); pek makanan (RM932,093.52); makanan panas (RM1,575,916.82); pek sayuran (RM190,954.70); tilam dan baju sejuk (RM578,100); khemah (RM264,525.92) dan bantuan psikologi kanak-kanak (RM29,192.69).

“Selain itu, CGM juga me­nyalurkan bantuan keperluan bayi sebanyak RM18,552.64; pek penjagaan kebersihan (RM74,210.51); bekalan air bersih (RM18,800) dan pembinaan tandas di beberapa lokasi (RM39,950),” katanya.

Menurutnya, CGM akan terus salurkan sumbangan dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan rakyat Palestin di Gaza bagi mengurangkan bebanan mereka yang masih lagi terhimpit akibat kekejaman berterusan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×