PETALING JAYA: “Bila cikgu sendiri cakap, saya takkan berjaya susah untuk saya percaya diri sendiri akan cemerlang dalam hidup.”
Itu luahan penyanyi, Najwa Latiff, 29, yang pernah merasakan diri tidak akan berjaya lantaran pemikiran sinis segelintir golongan pendidik yang memandang rendah kerjaya sebagai penyanyi.
Kongsi penulis lagu Cinta Muka Buku itu, dua tahun dia menanggung rasa sakit dan kurang percaya diri gara-gara pelbagai kecaman yang datang dari orang terdekat terutama di zaman persekolahan.
“Ada yang cakap, lagu saya sampah dan basic. Bila cikgu itu cakap saya takkan berjaya, saya tanya kenapa cakap begitu. Susah kita nak percaya dengan diri sendiri bila orang yang dekat cakap begitu.
“Jujur, dua tahun saya di sekolah, itu adalah tahun-tahun terburuk dalam hidup saya. Saya bercakap untuk diri sendiri. Saya melalui fasa itu, sebab itu yang paling dekat dengan saya,” kongsinya menerusi satu hantaran video sesi bersama peminat yang tular di media sosial.

Tambah Najwa atau Imratul Najwa Abdul Latif itu, dia pernah meminta izin dari ibunya untuk berhenti bersekolah dan tidak lagi kisah dengan apa sahaja yang bakal dilalui di masa hadapan kerana tidak bersekolah.
“Saya ketika itu cakap dengan mak, nak berhenti sekolah. Tak jadi penyanyi pun tak apa. Kerja di restoran makanan segera pun tak apa. Kerjalah apa pun.
“Sangat menyedihkan bila orang tidak percaya kebolehan kita. Lebih menyedihkan bila kita percaya dengan apa yang orang itu katakan,” ujar anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu.
Untuk info, ketika ini sedang dalam pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sebelum ini, penyanyi Kosong itu pernah menjadi pensyarah di Universiti Selangor (UNISEL) sebelum berhenti kerana mahu memberi fokus kepada keluarga dan pengajiannya.-UTUSAN










