Caj penggambaran komersial di Wang Kelian wajar - Zeel Production - Utusan Malaysia

Caj penggambaran komersial di Wang Kelian wajar – Zeel Production

FADZIL Teh (belakang, lima dari kanan) bergambar bersama pelakon dan barisan produksi yang menjayakan pembikinan drama Cinta Bersemi Di Wadi Safiyyah sewaktu majlis makan malam dan tontonan episod akhir drama berkenaan di Hotel Brasmana, Kuala Perlis, Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Langkah Jabatan Perhutanan negeri mengenakan caj bayaran kepada pihak melakukan penggambaran komersial menggunakan kamera digital lensa refleks tunggal (DSLR) mahupun video di Wang Kelian adalah wajar dan isu berkenaan tidak sepatutnya diperbesarkan.

Menyifatkan kadar yang dikenakan itu tidak terlalu membebankan, Fadzil Teh atau lebih dikenali sebagai Haji Zeel turut mempersoalkan tindakan pihak yang mengecam dan mempertikaikan pelaksanaan itu.

Menurut pemilik produksi terkenal, Zeel Production itu, sebelum ini juga, beliau perlu membayar puluhan ribu ringgit bagi melakukan penggambaran dalam kawasan seliaan Jabatan Perhutanan negeri dan perkara tersebut bukannya satu isu yang perlu diperbesarkan.

“Pada saya, isu itu jangan diperbesarkan kerana jurugambar dan juruvideo komersial juga turut mengenakan caj bagi perkhidmatan mereka dan samalah seperti di Wang Kelian.

“Malah kadar yang dikenakan buat mereka juga bukanlah begitu membebankan berbanding keuntungan yang mereka perolehi menerusi gambar-gambar atau video yang dikomersial itu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam dan Tontonan Episod Akhir Drama Cinta Bersemi Di Wadi Safiyyah di Hotel Brasmana, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad, Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah.

Fadzil berkata demikian bagi mengulas mengenai salah faham isu caj bayaran dikenakan kepada pengunjung yang merakamkan gambar di puncak View Point Wang Kelian dan mendapat kecaman banyak pihak.

Kerajaan negeri sebelum ini turut menjelaskan caj berkenaan hanya dikenakan kepada pihak menjalankan penggambaran secara komersial dan bukan melibatkan orang awam yang mengambil gambar menggunakan telefon bimbit.

Dalam pada itu, Fadzil berkata, caj yang dikenakan itu dapat digunakan bagi tujuan penyelenggaraan dan penambahbaikan kawasan tersebut dalam memberi lebih keselesaan buat pengunjung tempatan mahu pun luar negara.

“Sekurang-kurangnya, pelaksanaan ini dapat memberi hasil buat negeri dan membolehkan kawasan itu dijaga dengan lebih baik.

“Saya berpandangan orang kita ini sebenarnya terlalu manja sebab sejak sekian lama mereka disogokkan dengan pemberian percuma dan kini tiba masanya generasi sekarang bangkit agar dapat berfikiran lebih terbuka di samping membuang mentaliti lapuk,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN