KANGAR: Gelombang Perikatan Nasional (PN) di negeri ini dilihat sukar bertahan meskipun gabungan berkenaan menguasai hampir keseluruhan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mengambil contoh situasi berlaku di Terengganu dalam PRU 2004, Barisan Nasional (BN) hanya memenangi empat kerusi di negeri itu manakala selebihnya dipegang oleh Pas namun keadaan berbalik semula pada pilihan raya selepas itu.
Katanya, dalam PRU11 apabila di bawah kepimpinan pencetus Gelombang Biru, Datuk Seri Idris Jusoh berjaya merampas kembali Terengganu dengan majoriti besar dengan 28 kerusi.
“Jadi keadaan tersebut juga boleh terbalik di Perlis dan ia tidak mustahil kerana kebanyakan kerusi di negeri ini sebelum ini adalah majoriti milik BN.
“Malah, melihat kepada situasi BN di Perlis khususnya UMNO, mereka mampu bangkit semula,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sembang Santai di Ants Hotel Bintong, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya dan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais.
Dalam PRU14, PN membuat kejutan apabila memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN dan semua tiga Parlimen sekali gus menafikan penguasaan BN di Perlis.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, perubahan sokongan rakyat dalam politik adalah merupakan perkara yang sememangnya tidak mustahil boleh berlaku.
“Pada saya, Perlis boleh dikembalikan kepada BN jika semangat ditunjukkan seperti hari ini dapat diteruskan di setiap cawangan dan bahagian,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan berkata, beliau turun padang pada majlis berkenaan bagi bersama-sama kepimpinan UMNO di tiga bahagian negeri ini untuk melihat sendiri situasi semasa parti berkenaan.
Tambahnya, pihaknya juga berharap agar semangat kepimpinan parti itu di peringkat negeri dapat diteruskan memandangkan UMNO hanya tewas disebabkan oleh Undi 18.
“Pengundi 18 tahun tidak mendapat maklumat tepat ketika itu dan kita akan usaha bagi memperbaikinya dengan memberi maklumat yang sebaiknya buat pengundi muda,” katanya.-UTUSAN










