PETALING JAYA: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri telah memulakan kajian dan sesi libat urus dalam mencadangkan pindaan Akta Timbang Tara 2005 [Akta 646] sebagai tindakan lanjut kepada pelaksanaan hala tuju dan inisiatif penambahbaikan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).
Menurut kenyataan BHEUU, kajian itu melibatkan pihak-pihak yang berkepentingan termasuk Majlis Peguam Malaysia.
“Secara keseluruhan, hala tuju dan penambahbaikan AIAC diyakini akan memastikan AIAC terus cemerlang sebagai hab penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) utama di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Selain itu, bagi mempromosi Malaysia sebagai tempat penyelesaian timbang tara pilihan utama selaras dengan status AIAC sebagai sebuah institusi antarabangsa dan bebas di bawah naungan Pertubuhan Perundingan Undang-Undang Asia Afrika (AALCO),” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Dalam pada itu, BHEUU memaklumkan Kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Perundingan Undang-Undang Asia Afrika (AALCO) hari ini menandatangani dan memeterai Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Tuan Rumah selaras keputusan Jemaah Menteri berkenaan hala tuju dan penambahbaikan struktur pentadbiran serta pengoperasian AIAC di negara ini.
Perjanjian itu dimeterai antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Setiausaha Agung AALCO, Dr. Kamalinne Pinitpuvadol.
Kata kenyataan itu, penambahbaikan dibuat melalui tadbir urus pengurusan yang lebih telus, efisien dan teratur berlandaskan konsep pengasingan bidang kuasa dan setanding dengan institusi-institusi timbang tara antarabangsa yang terunggul di persada dunia.
Ini termasuk menginstitusi dan mengiktiraf fungsi dan peranan Lembaga Penasihat AIAC sedia ada sebagai Lembaga Pengarah AIAC, pewujudan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif dan penubuhan Mahkamah Timbang Tara AIAC yang akan dilaksanakan secara berfasa.
“Inisiatif hala tuju dan penambahbaikan struktur pentadbiran AIAC yang diperkenalkan ini adalah manifestasi hasrat Kerajaan Madani yang komited untuk mengangkat bidang penyelesaian pertikaian alternatif terutamanya melalui struktur pentadbiran baharu AIAC yang menekankan aspek tata kelola baik dan mekanisme semak dan imbang komprehensif.
“Perkara ini diyakini terus meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan termasuk dalam kalangan komuniti ADR terhadap sistem perkhidmatan ditawarkan AIAC. Hala tuju baharu ini bakal memberi nafas baharu kepada AIAC ditubuhkan sejak 1978 untuk melangkah maju dan berdaya saing dengan institusi timbang tara antarabangsa terkemuka lain di dunia,” katanya.
Kata kenyataan lagi, Jemaah Menteri bersetuju supaya AIAC terus menduduki dan menggunakan Bangunan Sulaiman di Jalan Sultan Hishamuddin sebagai premis bagi tujuan pengoperasian AIAC selagi mana Perjanjian Tuan Rumah diperbaharui sekali gus membuktikan komitmen berterusan terhadap pembangunan penyelesaian pertikaian alternatif di Malaysia.
“Sebagai langkah susulan, sebuah roadmap jangka panjang merangkumi pendekatan dan strategi-strategi khusus bagi AIAC serta pembangunan penyelesaian pertikaian alternatif secara keseluruhannya dengan penglibatan pihak-pihak berkepentingan,” katanya. – UTUSAN










