Bersatu cari kaedah pastikan enam kerusi dikosongkan - Utusan Malaysia

Bersatu cari kaedah pastikan enam kerusi dikosongkan

Bersatu
AFIF BAHARDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Parti Bersatu mendakwa akan melakukan segala kaedah dari sudut perundangan dan politik untuk memastikan enam kerusi parlimen dapat dikosongkan apabila penyandangnya mengisytihar sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kerusi tersebut adalah Tanjong Karang, Tanah Merah, Gua Musang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar dan Labuan yang disandang oleh wakil daripada parti itu yang memenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Pimpinan Bersatu, Dr. Afif Bahardin berkata, tindakan tersebut akan dilakukan berdasarkan perkara-perkara termaktub dalam Akta Anti Lompat Parti bagi memastikan penyandangnya dapat diganti.

“Kami akan menggerakkan apa saja cara dan kaedah di dalam lingkup perundangan dan politik bagi memastikan kerusi-kerusi berkenaan dapat dikosongkan seperti yang termaktub dalam akta tersebut bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil di dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu,beliau turut menyelar kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhail Abdul Rahman yang mencabar parti untuk memecatnya selepas mengisytihar sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Kami di Bersatu mencabar beliau untuk segera mengosongkan kerusinya kerana hakikatnya parti mempunyai ramai lagi tokoh yang mampu mewakili dan menjaga kebajikan rakyat Labuan walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai bentuk tekanan dan intimidasi daripada pentadbiran PMX dan kerajaan campuran PH-BN,” tegasnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi menjadi anggota Dewan Rakyat yang keenam dari Bersatu mengisytihar sokongan kepada Anwar serta merta dalam satu kenyataan pada 24 Januari lalu.

Malah dalam kenyataannya, beliau turut menyeru penduduk dan pengundi di Tanjong Karang untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada Kerajaan Madani dan mendoakan agar kawasan parlimen itu mendapat limpahan pembangunan sebagaimana diharapkan.

Dalam pada itu, Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan turut menegaskan akan menggerakkan inisiatif pengukuhan parti dalam kalangan golongan muda, mahasiswa dan profesional serta memperkenalkan tokoh pimpinan muda.

“Bersatu di dalam kerangka Perikatan Nasional (PN) akan terus menjadi parti ulung bagi mewakili dan membela masyarakat Bumiputera dan keseluruhan rakyat Malaysia tanpa mengira ras dan agama. 

“Dengan kesatuan pimpinan dan ahli Bersatu , saya dan rakan-rakan akan menggerakkan satu inisiatif bagi mendekati golongan muda terutama dalam kalangan profesional muda dan mahasiswa bagi memperjelaskan prinsip.

“Inisiatif ini bermatlamat bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan dalam kalangan profesional muda dan mahasiswa di dalam wadah perjuangan murni parti Bersatu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN