Berbaloikah beli komputer riba terpakai?

Berbaloikah beli komputer riba terpakai?

PENJUALAN komputer riba terpakai dan juga yang diperbaharui kini menjadi pilihan terutama bagi mereka yang mencari gajet itu pada harga murah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penjualan komputer riba terpakai dan juga yang diperbaharui kini menjadi pilihan terutama bagi mereka yang mencari gajet itu pada harga murah, dianggap sebagai berkualiti dan memenuhi spesifikasi yang dikehendaki.

Siapa tidak mahu memiliki komputer tersebut yang boleh dibeli dengan harga bawah RM1,000 malah ada juga yang dijual bawah harga RM500.

Pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah antara yang cenderung menggunakan komputer tersebut kerana tuntutan kursus dan juga pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.

Komputer terpakai menjadi pilihan mereka kerana harga komputer baharu yang mencecah sehingga RM1,700 dan ke atas menjadi kekangan kepada pelajar terutama daripada golongan B40.

Harga komputer yang mahal juga menjadi isu besar kepada sesetengah orang sehingga ada yang terpaksa melupakan hasrat untuk melanjutkan pengajian peringkat tinggi.

Menerusi tinjauan Utusan Malaysia, komputer riba terpakai dan diperbaharui banyak dijual di media sosial seperti Facebook, Tiktok dan Instagram, malah, ia turut dijual di Plaza Lowyat di Kuala Lumpur, lokasi yang dianggap ‘syurga’ bagi peralatan elektronik dan pengkomputeran.

Namun sejauh mana komputer tersebut benar-benar berbaloi kepada pembeli yang rata-ratanya tidak begitu mahir dengan spesifikasi komputer riba?

Seorang pembeli yang mahu dikenali sebagai Aiman berkata, rata-rata mereka yang menjual komputer itu tidak fasih bercakap bahasa Melayu dan keadaan itu menimbulkan kebimbangan tentang penjualan komputer tersebut.

“Kita tidak tahu mereka ambil daripada mana komputer berkenaan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai juga perlu berhati-hati ketika membeli komputer riba terpakai kerana tidak tahu keadaan barangan elektronik tersebut dan siapa pengguna sebelumnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusoff berkata, setakat ini, mereka hanya dapat aduan mengenai pembelian komputer riba terpakai yang tidak mengikut spesifikasi yang dijanjikan.

“Pengguna mengharapkan dapat komputer yang diinginkan dan setimpal dengan bayaran yang dikenakan tetapi apa yang dijanjikan tidak ada.

“Kami juga banyak menerima aduan mengenai penipuan pembelian komputer dalam talian dengan harga yang murah bawah RM1,000,” katanya.

Mohd. Yusrizal berkata, banyak kes penipuan berlaku menerusi platform media sosial kononnya untuk menjual komputer riba dengan harga lebih murah tetapi sebenarnya ia adalah modus operandi bagi menjerat mangsa sehingga kerugian ribuan ringgit.

Seorang pelajar sebuah universiti di Lembah Klang, Shafira aziz, 23, mengakui pernah ditipu ketika membeli komputer terpakai secara dalam talian.

“Pada mulanya saya menjumpai kedai itu di media sosial dan beranggapan kedai tersebut boleh dipercayai kerana mempunyai banyak maklum balas yang baik daripada pelanggan. Ternyata semua maklum balas tersebut hanya palsu.

“Selepas menyelesaikan transaksi bayaran sebanyak RM1,800, penjual tersebut tidak memberi respon kepada mesej saya, malah nombor saya disekat oleh penjual tersebut.

“Ekoran itu saya sedar sudah ditipu dan sudah membuat laporan polis, namun pihak berkuasa memberitahu kebanyakan kes penipuan dalam talian sukar untuk diselesaikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×