KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini semalam memerintahkan seorang bekas setiausaha sulit kanan menteri membela diri atas lapan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.77 juta daripada pemilik sebuah syarikat bagi mendapatkan tender perkhidmatan pengiklanan.
Hakim Suzana Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd. Saifullah Mohd. Minggu @ Mohd. Hashim, 33, yang ketika itu pegawai bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Setelah meneliti keseluruhan keterangan saksi pendakwaan dan hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu, tertuduh diperintah membela diri bagi lapan pertuduhan,” katanya.
Justeru, Mohd. Saifullah mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu memilih untuk berdiam diri, memberi keterangan dalam kandang tertuduh yang mana keterangan secara tidak bersumpah atau memberi keterangan bersumpah di kandang saksi yang boleh disoal balas.
Peguam Haijan Omar mewakili Mohd. Saifullah memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya memilih untuk memberikan keterangan daripada kandang saksi secara bersumpah dan boleh disoal balas.
Mengikut lapan pertuduhan itu, Mohd. Saifullah didakwa menerima suapan berjumlah RM1,765,000 daripada pemilik syarikat Inter Bev Network Sdn. Bhd., Ronald Seto Kong Seng melalui Roslan Lahada.
Ia sebagai dorongan untuk tertuduh mendapatkan tender ‘Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan (Brand) dan Kreatif (Creative) bagi kempen pengiklanan Tourism Malaysia.
Menurut tuduhan, tender itu kepada Inter Bev Network untuk kempen pengiklanan Tourism Malaysia kepada syarikat itu dan tender ‘Cadangan Promosi dan Pengiklanan Digital Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020’ secara rundingan terus kepada syarikat Plan B Digital Sdn. Bhd..
Kesemua kesalahan itu dilakukan di beberapa tempat iaitu Red Box Karaoke dan Coffee Bean di pusat beli-belah Pavillion, di Pusat Dagangan Dunia (WTC); di pejabat setiausaha sulit kanan kepada menteri, di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Tempat-tempat lain termasuk di Vipod Residences; di Maybank lslamic Berhad, Wisma Genting; di premis di Temasya Anggun, Glenmarie, Selangor; Kota Damansara dan Petronas Dengkil antara 11 pagi dan 11.30 malam, pada 21 Disember 2018 dan 1 Mac 2019.
Dalam pada itu, mahkamah melepas dan membebaskan Mohd. Saifullah daripada 11 pertuduhan menerima dan meminta RM820,530 daripada individu sama.
Bagi pertuduhan meminta dan menerima rasuah, Mohd. Saifullah didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. – UTUSAN










