Bekas kelindan lori bebas tuduhan bakar 34 motosikal di parkir PPR

Bekas kelindan lori bebas tuduhan bakar 34 motosikal di parkir PPR

MOHD. Saiful Adey Mohd. Noor dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas dibebaskan daripada pertuduhan membakar 34 buah motosikal.  - UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang didakwa melakukan khianat sehingga menyebabkan 34 buah motosikal terbakar di parkir Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, dua tahun lalu, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini daripada pertuduhan itu.

Hakim Norina Zainol Abidin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap bekas kelindan lori, Mohd. Saiful Adey Mohd. Noor, 36, di akhir kes pendakwaan.

“Setelah mendengar keterangan saksi pendakwaan dan meneliti hujahan pembelaan serta pendakwaan, pihak pendakwaan gagal buktikan kes prima facie. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri,” katanya. 

Pada 30 September 2022, Mohd. Saiful mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya. Mohd. Saiful didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan cecair mudah terbakar iaitu petrol sehingga menyebabkan motosikal terbabit hangus terbakar di parkir Blok G PPR berkenaan, pukul 2.21 pagi pada 6 Julai 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun serta denda.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 5 Oktober 2023, seramai lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan. Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn manakala tertuduh diwakili peguam M. Soosai Raj. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN