IPOH: Bekas juruteknik syarikat penyedia perkhidmatan internet didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 20 pertuduhan melakukan rompakan bersenjatakan pisau dan mendatangkan kecederaan di bank dan farmasi di daerah ini sejak 2022 hingga 2023.
Tertuduh, Mohd. Sufian Wahab, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah yusof dan Hakim Azizah Ahmad.
Pada prosiding di hadapan Hakim Hilmiah, tertuduh didakwa bagi tujuh pertuduhan melakukan rompakan bersenjatakan sebilah pisau terhadap tujuh individu masing-masing sebanyak RM700, RM1,500, RM1,500, RM3,140, RM10,000, RM1,500 dan seutas gelang.
Sementara itu, pada prosiding di hadapan Hakim Azizah, tertuduh didakwa bagi 13 pertuduhan melakukan rompakan bersenjatakan pisau, rompakan berkumpulan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.
Kesalahan dilakukan tertuduh itu membabitkan kerugian berjumlah RM29,510 selain pelbagai barangan kemas termasuk rantai, gelang, cincin, buah rantai, cincin batu jed dan seutas jam tangan jenama Seiko.
Kesemua perbuatan itu dilakukan tertuduh di beberapa buah bank dan farmasi di daerah Ipoh antara 3 Ogos 2022 hingga 25 Disember 2023.
Pertuduhan terhadap bapa kepada lima anak itu dikemukakan mengikut Seksyen 392, Seksyen 392/397 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.
Bagi kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaan Raya, Qurratu’aini Khalifah, Mohammad Haiqal Asyraf Suhaimi dan Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh diwakili peguam Gheetal Kaur.
Terdahulu, tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukannya adalah serius, melibatkan orang awam dan jumlah kerugian yang besar.
Bagaimanapun, Gheetal dalam rayuannya memohon agar anak guamnya itu dibenarkan untuk diikat jamin dengan jumlah minimum atas alasan menanggung isteri dan lima anak yang masih bersekolah selain menjaga seorang ibu yang mengalami masalah jantung.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa-mangsa sehingga kes selesai.
Tarikh 22 April depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Menerusi laporan media pada 7 Februari lalu, Mohd. Sufian bersama seorang lagi lelaki, Mohd. Sahuri Hassim, 39, didakwa di tiga Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas lima pertuduhan melakukan rompak dan samun berkumpulan di beberapa bank tahun lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM34,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.
Pada 12 Januari lalu, media melaporkan dua lelaki disyaki kumpulan samun ‘Geng Pian’ yang aktif menyamun di Perak dan Kuala Lumpur sejak 2020 akhirnya tumpas apabila suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dalam dua tangkapan berasingan di Perak dan Pahang. – UTUSAN







