Banyak terima rungutan ketidakpuasan hati dengan wakil rakyat PN - Utusan Malaysia

Banyak terima rungutan ketidakpuasan hati dengan wakil rakyat PN

ROZABIL ABD RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: UMNO negeri menerima banyak rungutan daripada masyarakat yang menyatakan ketidakpuasan hati dengan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan negeri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, akar umbi menyatakan ketidakpuasan hati tersebut jika dibandingkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Harapan saya ialah rakyat dapat membuat perbandingan malah kita kepimpinan baharu di Perlis juga sememangnya akan meneruskan kebajikan buat rakyat di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Perlis di Dewan Ibnu Khaldun Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri, semalam.

Sementara itu, Rozabil berkata, UMNO kini sedang bekerjasama rapat dengan Pakatan Harapan (PH) di Perlis bagi memastikan undi dua gabungan itu dapat dikekalkan pada pilihan raya akan datang.

Katanya, langkah seterusnya pula adalah untuk bersama-sama menarik sokongan daripada pengundi baharu selepas ini.

“Dan saya juga telah rancang beberapa program bersama Pengerusi PH negeri, Noor Amin Ahmad untuk kita jelaskan pada masyarakat yang parti dalam kerajaan Perpaduan ini dapat bekerjasama dengan baik untuk hadapi PRU16,” katanya.

Dalam pada itu, Rozabil yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan bagi menerima semula ahli-ahli parti itu yang beralih sokongan sewaktu PRU15.

Ujarnya, kebanyakan daripada pihak terlibat sebelum ini bertindak sedemikian mungkin disebabkan oleh keliru sehingga mengambil pendirian meninggalkan parti tersebut.

“Kita nak kembalikan semula ramai ahli-ahli UMNO yang keliru pada PRU15 lepas dan mereka telah nyatakan hasrat terus kepada saya untuk kembali kepada parti ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN