‘Ayahanda Husin Harimau Kubang' dihadap ke mahkamah - Utusan Malaysia

‘Ayahanda Husin Harimau Kubang’ dihadap ke mahkamah

HUSIN Hassan (kiri) dan anaknya dan anaknya, Muhammad Aieril Amirul Husin keluar dari Mahkamah Majistret Dungun di Dungun, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seorang peniaga yang digelar ‘Ayahanda Husin Harimau Kumbang’ bersama anak lelakinya dan tiga lagi individu lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret Dungun, semalam bagi pertuduhan mengurus serta mengangotai sebuah pertubuhan haram, Pertubuhan Kebajikan Selendang Merah Malaysia pada Januari tahun lalu.

Husin Hassan, 40, dan anaknya, Muhammad Aieril Amirul Husin, 21, serta adik kandungnya, Mohamad Hassan, 39, dan dua lagi tertuduh iaitu pemandu ambulans, Hilmy Ibrahim, 50, dan mekanik, Mohd. Syamim Abdul Rahim, 39, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.

Mengikut pertuduhan, Husin dan Mohd Syamim masing-masing berasal dari Dungun, berdepan dua pertuduhan manakala tiga lagi individu berdepan satu pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, Husin didakwa atas kesalahan mengurus suatu pertubuhan yang tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 iaitu Pertubuhan Kebajikan Selendang Merah Malaysia atau Ayahanda Harimau Kumbang.

Bagi kesalahan itu, Husin berdepan mengikut Seksyen 42 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda maksimum RM15,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Empat lagi tertuduh, didakwa atas kesalahan menjadi anggota pertubuhan itu yang tidak berdaftar dan menyalahi undang-undang di negara ini.

Bagi kesalahan itu, keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43 Akta yang sama yang memperuntukkan penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.

Kesemua perbuatan tersebut didakwa dilakukan kelima-lima tertuduh pada 20 Januari 2023 antara pukul 1.40 pagi hingga 3.15 pagi di sekitar daerah Dungun dan daerah Kuala Terengganu.

Bagi pertuduhan seterusnya, Husin dan Mohd. Syamim didakwa bagi mencapai niat bersama didapati telah mengambil bahagian dalam Pertubuhan Kebajikan Selendang Merah Malaysia atau Ayahanda Harimau Kumbang tanpa kebenaran bertulis pendaftar yang mana pertubuhan tersebut tidak didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Kesalahan itu dilakukan kedua-kedua tertuduh di Kampung Sura Jeti, pada 20 Januari tahun lalu kira-kira pukul 1.40 pagi.

Bagi kesalahan itu, kedua-kedua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(2) Akta Pertubuhan 1966 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) Akta yang sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan
Husin dan Mohd. Syamim masing-masing diikat jamin sebanyak RM9,000 dan RM7,000 berserta seorang penjamin manakala tiga lagi tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM3,000.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Nur Amalina Najwa Mohd. Ali manakala tiga tertuduh iaitu, Husin dan anaknya, Muhammad Aieril Amirul Husin serta abangnya, Mohamad, diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed.

Dua lagi tertuduh, iaitu Mohd Shamim dan Hilmy, diwakili peguam, Nohabibah Norulalzahar.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 18 Mac ini sebagai serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×