PETALING JAYA: “Apa yang berlaku, sebab semua itu, lebih baik saya simpan sendiri. Terlalu peribadi untuk saya kongsi.”
Demikian jawapan pelakon, Mawar Rashid kepada Utusan Malaysia ketika ditanya berhubung episod perceraiannya dengan bekas suami, Raf Yaakob yang pernah menggemparkan industri hiburan tanah air.
Jelas Mawar, apa yang berlaku adalah satu ujian untuknya yang perlu dijalani dengan kuat dan dia juga percaya, di sebalik setiap dugaan pasti akan ada hikmah yang bakal menyinari hidupnya.
“Ujian hidup itu satu fitrah dan setiap ujian individu datang dalam pelbagai cara yang berbeza serta bentuk yang berlainan. Ini adalah bentuk ujian kehidupan saya.
“Saya hanya mampu teruskan untuk menjadi wanita yang kuat demi membesarkan anak-anak sebaik mungkin. Saya sentiasa berpegang pada ada hikmah d ibalik setiap ujian kita.
“Doakan agar semua urusan saya dipermudahkan. Tak lupa juga untuk saya nak ucapkan terima kasih kepada ramai yang memberi sokongan dan kata-kata positif kepada saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mawar juga sentiasa menasihatkan diri sendiri untuk tidak bergantung pada memori pahit dalam kehidupan sebaliknya belajar menyayangi diri sendiri dan mereka yang sentiasa ada untuknya.
“Jujurnya, kita manusia memerlukan sokongan. Tuhan memang selalu ada, itu saya yakin. Tetapi dalam pada masa sama, saya bersyukur keluarga, sahabat sentiasa di sisi. Menjadi pendengar, pemujuk hati.
“Saya juga pesan kepada diri sendiri, fokus untuk tambah baik kualiti hidup dengan cara sendiri. Buat perkara yang menggembirakan dan menyihatkan mental serta fizikal. Fokus kepada apa yang penting dalam hidup,” katanya.