Anggota polis tidak mengaku minta, terima rasuah - Utusan Malaysia

Anggota polis tidak mengaku minta, terima rasuah

MUHAMMAD Amirul Md. Idrus (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini di atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM12,000, empat tahun lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini di atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM12,000, empat tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Amirul Md. Idrus, 32, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Cawangan Pengawal Pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung didakwa secara rasuah meminta suatu suapan iaitu wang tunai sebanyak RM10,000 daripada Muhammad Zubairi Hashim.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tertuduh tidak mendedahkan aktiviti pemprosesan air ketum yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Tertuduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah restora di Jalan Teluk Rubiah, Kampung Permatang, Seri Manjung pada pukul 10.45 malam, 5 Mei 2021.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Tertuduh turut berdepan pertuduhan kedua apabila didakwa telah secara rasuah memperoleh suapan iaitu wang tunai RM2000 daripada individu sama di sebuah stesen minyak di Persiaran Venice Intan, Desa Manjung Raya Lumut pada pukul 4.35 petang, 4 Jun 2021.

Pertuduhan bagi kesalahan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili peguam Farhan Fadzil.

Terdahulu, Maziyah mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh namun Farhan memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya itu menanggung isteri yang tidak bekerja bersama dua anak masing-masing berusia enam dan dua tahun.

Farhan memberitahu, tertuduh yang berpendapatan bulanan RM2,400 juga menerima gaji terakhirnya bulan ini memandangkan akan digantung kerja bermula esok.

“Anak guam saya juga tidak akan melarikan diri kerana tidak memiliki passport,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan selain perlu melapor diri setiap bulan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Taiping.

Tarikh 29 Mac depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN