KUALA LUMPUR: Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) bakal membina empat Loji Rawatan Air (LRA) baharu sebagai usaha meningkatkan rizab air kepada 20 peratus pada 2030.
LRA tersebut adalah LRA Rasau Peringkat 1 yang dijangka siap pada tahun 2025, LRA Penyalagaraman Pulau Ketam (2026), LRA Rasau Peringkat 2 (2028) dan LRA Labohan Dagang Fasa 2 (2028).
Air Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, ia bagi menjalankan tanggungjawabnya dalam menyediakan bekalan air yang terawat, bersih dan mampan kepada 9.3 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya.
“Pada 2023, Air Selangor berjaya meningkatkan margin rizab air kepada 15.34 peratus daripada 12.02 peratus. Peningkatan ketara daripada hanya tiga peratus pada tahun 2015,” katanya.
Pada tahun lepas, Air Selangor memperoleh pelbagai pencapaian antaranya menggantikan sepanjang 1,008.56 kilometer (km) paip usang sejak tahun 2016 dan mencapai Indeks Paip Pecah (PBI) sebanyak 4.18 kes setiap 100 km iaitu lebih rendah dari penanda aras antarabangsa.
Air Selangor juga berjaya mematuhi piawaian kualiti air minuman Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu 99.92 peratus, melebihi 99 peratus secara konsisten untuk tiga tahun dan mencapai kadar Air Bukan Terhasil (NRW) sebanyak 27.75 peratus.
Sehubungan itu, Air Selangor menyatakan pelbagai inisiatif pelaburan terus dipergiat susulan daripada pelarasan tarif air baharu yang berkuat kuasa pada 1 Februari lalu.
Katanya, pengurusan akan meningkatkan program penggantian paip daripada 150 km setahun kepada 300 km setahun bermula tahun ini dan kemudiannya 400 km setahun bermula 2034.
Jelasnya, usaha tersebut membolehkan 5,000 km paip usang dapat diganti dalam tempoh 15 tahun.
“Selain itu, Air Selangor mempertingkatkan kerja-kerja pemulihan, peningkatan dan menaik taraf aset seperti pembinaan kolam air, rumah pam serta pemasangan paip baharu di kawasan yang mengalami tekanan air rendah.
“Turut ingin mengekalkan tahap kualiti air pada tahap 99 peratus mengikut piawaian KKM menerusi kerja-kerja pencucian kolam air dan paip kepada 321 dan 11,833 km masing-masing.
“Serta penambahan pemasangan online analyser untuk memantau kualiti air sebanyak 190 buah kepada 300 buah dalam tempoh tiga tahun akan datang,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Air Selangor menganjurkan acara ‘hi-tea Tahun Baru Cina’ bersama kira-kira 25 media daripada pelbagai agensi di sebuah restoran di Bangsar, di sini.
Tambahnya, acara tersebut adalah platform untuk mereka mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kerjasama pihak media yang berterusan. – UTUSAN











