Air deras, mangsa di tengah sungai punca sukar selamatkan diri - Utusan Malaysia

Air deras, mangsa di tengah sungai punca sukar selamatkan diri

AHLI keluarga mangsa yang dihanyut kepala air, Aszura Bani tidak dapat menahan kesedihan ketika pengebumian jenazah wanita itu di Tanah Perkuburan Islam Bidor hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Hujan lebat dari kawasan tinggi selain semua mangsa berada di tengah sungai menjadi antara punca ada mangsa yang tidak dapat menyelamatkan diri dalam kejadian dihanyutkan kepala air di Sungai Kenjur dekat Kampung Poh, Bidor di sini semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, semasa kejadian, semua mangsa berada di tengah sungai dan majoriti mereka ialah wanita dan kanak-kanak.

“Mereka merupakan wanita dan kanak-kanak yang kurang berupaya untuk menyelamatkan diri ekoran arus deras semasa kejadian kepala air itu.

“Paras air amat tinggi dan deras lebih menyukarkan mereka (mangsa) untuk menyelamatkan diri.

“Operasi mencari berterusan sehingga pagi ini pihak bomba berjaya menemui semua mangsa.

“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut penduduk kampung yang ditemui berkata, kejadian kepala air sering berlaku terutama pada hujan lebat.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd. Naim Asmawi berkata, semua lokasi kejadian mangsa dijumpai ditutup buat sementara sehingga siasatan selesai.

Dalam kejadian sekitar pukul 4 petang semalam, enam sekeluarga termasuk seorang pembantu rumah wanita warga Indonesia terperangkap dalam kepala air ketika melakukan aktiviti perkelahan.

Media melaporkan, jasad Aszura Bani, 37, ditemui kira-kira 600 meter dari lokasi perkelahan oleh penduduk kampung pada pukul 4.30 petang semalam sementara anak lelakinya, Hafiy Muhayat Azam, 4, pula ditemukan pada 9.30 semalam.

Dua lagi mayat anak arwah Aszura dijumpai pagi tadi iaitu Hanna Mikayla Azam, 7, dan Hanum Marissa Azam, 2.

Dalam kejadian itu, kakak Aszura dikenali Aslinda, 38, dan anak lelakinya berusia 11 tahun serta pengasuh wanita warga Indonesia berusia 30-an terselamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×