Selam dasar sungai sebelum temukan mangsa - Utusan Malaysia

Selam dasar sungai sebelum temukan mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Perasan sedih dan sebak dirasai Muhammad Izwan Nordin, 26, penduduk kampung yang menemukan mayat kanak-kanak lelaki yang merupakan mangsa tragedi kepala air di Sungai Kenjur, Kampung Poh dekat Bidor semalam.

Mangsa, Hafiy Muhayat Azam, 4, dijumpai tersangkut di bawah akar pokok dalam sungai kira-kira 600 meter dari tempat kejadian pada jam 9.50 malam.

Berkongsi perasaannya, Muhammad Izwan berkata, rasa simpati terhadap bapa kanak-kanak itu menyebabkan dia bersemangat untuk menyelam ke dasar sungai meskipun hari telah gelap.

“Saya sedih sebab mereka budak-budak, lagipun saya kenal dengan ibu dan bapa mereka.

“Sebab itu, apabila lihat pokok melintang di tengah sungai, hati saya terdetik sesuatu menyebabkan saya terus selam ke dasar sungai sebelum ternampak objek seperti kaki.

“Apabila pegang, memang betul ia adalah kaki mangsa. Ketika itu saya rasa menggelabah namun kuatkan semangat untuk terus memegangnya sebelum memanggil rakan lain untuk bantuan,” katanya di sini semalam.

Menurutnya yang bekerja di ladang sawit, mayat kanak-kanak itu tersangkut pada akar pokok di dalam sungai dengan terdapat kesan-kesan luka di kepala.

Katanya, ini kali pertama dia turut serta dalam operasi menyelamat dan terpanggil untuk menyertainya kerana mengenali ibu dan bapa mangsa.

“Ini kejadian pertama kepala air di sini dan mangsa terlibat pula kanak-kanak, saya dan penduduk kampung tak sampai hati,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 4 petang semalam, enam sekeluarga termasuk seorang pembantu rumah wanita warga Indonesia terperangkap dalam kepala air ketika melakukan aktiviti perkelahan.

Jasad Aszura Bani, 37, ditemui kira-kira 600 meter dari lokasi perkelahan oleh penduduk kampung pada pukul 4.30 petang manakala anak lelakinya, Hafiy Muhayat, 4, pula ditemukan pada 9.30 malam.

Dua lagi anak Aszura iaitu Hanum Marissa, 2, dan Hannah Mikayla pula masing-masing dijumpai pada pukul 8.54 dan 9.05 pagi.

Dalam kejadian itu, kakak Aszura dikenali Aslinda, 38, dan anak lelakinya berusia 11 tahun serta pengasuh wanita warga Indonesia berusia 30-an terselamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×