Agong berkenan lantik tujuh ahli RCI kaji kes Batu Puteh 

Agong berkenan lantik tujuh ahli RCI kaji kes Batu Puteh 

Pulau Batu Puteh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melantik tujuh individu menganggotai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. 

Salah seorang ahli RCI dilantik ialah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raud Sharif yang bertindak sebagai Pengerusi. 

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, penubuhan RCI tersebut berkuatkuasa serta-merta selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119). 

“Seri Paduka turut memperkenan pelantikan tujuh orang Pesuruhjaya RCI yang terdiri dalam kalangan pakar dan pengamal undang-undang,” katanya hari ini. 

Terdahulu hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) bersama Ketua Pengarah BHEUU, Zamri Misman, menghadap dan menyembah maklum Seri Paduka berhubung perkara tersebut. 

Sementara itu, katanya, Seri Paduka berkenan melantik Zamri sebagai Setiausaha RCI manakala BHEUU bertindak sebagai urus setia. 

Berikut ialah tujuh Pesuruhjaya RCI yang dilantik: 

 

  1. Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raud Sharif (Pengerusi). 
  2. Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali (Timbalan Pengerusi dan ahli). 
  3. Peguam, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu (ahli). 
  4. Prof. Dr. Johan Shamsuddin Sabaruddin (bekas Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya). 
  5. Pakar Undang-Undang Perlembagaan dan Undang-Undang Pentadbiran, Prof. Dr. Faridah Jalil (ahli). 
  6. Pegawai Kewangan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Datuk Abd. Kadir (ahli). 
  7. Pengarah Laut Wilayah Selatan, Jabatan Laut Malaysia, Dickson Dollah (ahli). 

 

Pada 24 Januari lalu, Kabinet memutuskan untuk menubuhkan RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan dengan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir selatan.

Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Malaysia berpendirian isu berkaitan Batu Puteh boleh diselesai dengan penglibatan langsung Peguam Negara Malaysia dan Singapura.

Pada Disember tahun lalu, Anwar meminta Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun, mengadakan rundingan dengan Kerajaan Singapura melibatkan kontroversi tuntutan terhadap Batu Puteh.

Arahan itu meminta Idrus meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit terhadap Batu Puteh yang diserah kepada negara jiran itu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.

Idrus pada Januari 2023, memaklumkan kerajaan berpendapat tindakan menarik balik kedua-dua Permohonan Semakan ke atas keputusan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dan Permintaan Tafsiran ke atas keputusan yang sama adalah tidak teratur dan tidak wajar.

Katanya, keputusan kerajaan itu adalah berdasarkan mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Januari 2023, susulan Laporan Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan (Pasukan Petugas Khas) yang dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri.

Pada 27 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, penyelidik Asian Institute Of International Affairs and Diplomacy (AHAD), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berkata, penubuhan RCI itu hanya sia-sia kerana Batu Puteh sudah menjadi milik Singapura. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×