AADK capai KPI 75 peratus penagih pulih sepenuhnya

AADK capai KPI 75 peratus penagih pulih sepenuhnya

SUTEKNO Ahmad Belon mengadakan sidang akhbar selepas Program Jelajah Mesra Perdana sempena Hari Anti Dadah 2024 di Pantai Puteri, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak 75 peratus atau seramai 14,890 daripada 19,820 penagih dadah pulih sepenuhnya melalui Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK), sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, pada 2022, pihaknya berjaya merawat pulih seramai 44,754 penagih dan daripada jumlah itu, 19,440 penagih telah dinilai.

Beliau berkata, hasil penilaian itu mendapati, seramai 14,008 penagih atau 72.1 peratus mencapai tahap kepulihan.

Ujarnya, setakat ini seramai 65,372 penagih direkodkan sedang menerima RPDK di seluruh negara.

“Ini bermakna, AADK berjaya menyahut cabaran Menteri Dalam Negeri dengan mengatasi kadar sasaran awal bagi petunjuk prestasi utama (KPI) ini iaitu sebanyak 75 peratus.

“Pencapaian ini dinilai menerusi kaedah cure and care recovery index (CCRI) dan berjaya mencapai KPI yang ditetapkan kerana semua yang terlibat khususnya kumpulan pelaksana di lapangan.

“AADK turut menetapkan sasaran dadah terkawal menjelang 2025 adalah sebanyak 400 orang bagi setiap 100,000 penduduk,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Mesra Perdana sempena Hari Anti Dadah 2024 di Pantai Puteri di sini, hari ini.

Tambah Sutekno, AADK menyasarkan sebanyak 76 peratus kadar penagih kekal pulih menjelang hujung tahun ini.

Menurutnya, usaha utama adalah untuk menurunkan kadar penagih iaitu tidak melebihi 400 orang bagi setiap 100,000 penduduk dan meningkatkan kadar kepulihan sehingga 80 peratus menjelang 2025.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menyasarkan 16 daripada 155 kawasan berisiko tinggi (KBT) di seluruh negara ditukar status kepada kawasan berisiko rendah (KBR). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×