KUALA LUMPUR: Seramai 93 mangsa skim penipuan pelaburan meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melihat semula kes-kes yang disiasat sebelum ini agar dalang ‘scammer’ dapat diberkas.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa yang kebanyakannya adalah warga emas yang terpedaya dengan penipuan pelaburan saham berkepentingan ditawarkan dua syarikat membabitkan kerugian sebanyak RM10.48 juta.
Katanya, kedua-dua syarikat itu bertindak sebagai ejen pemasaran untuk mempromosikan pelabura tersebut dengan mendakwa pelaburan tersebut dijalankan syarikat berdaftar dan terkemuka di luar negara.
“Antara modus operandi syarikat-syarikat tersebut apabila mereka menggunakan sistem e-wallet dan menawarkan pembelian unit saham melalui mata wang kripto.
“Individu yang berminat perlu menandatangani perjanjian untuk tempoh beberapa tahun sebelum memperoleh pulangan hasil pelaburan.
“Malah, pelabur diberikan surat perjanjian dalam bahasa Inggeris dan jumlah muka surat yang tebal san banyak sehinggakan sukar difahami mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini.
Terdahulu, Hishamuddin menyerahkan surat perkembangan semasa di bawah Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah dan Representasi Perundangan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.
Menurut Hishamuddin, apabila tempoh perjanjian tamat pada 2019, mangsa sehingga kini tidak mendapat sebarang pulangan hasil wang yang dilabur.
Malah, jelasnya, mangsa telah pergi ke syarikat atau cuba berjumpa dengan mereka yang bertanggungjawab dalam pelaburan tersebut namun tidak diendahkan.
“Hasil pemeriksaan mendapati syarikat yang kononnya berdaftar di Amerika Syarikat sebenarnya mempunyai ibu pejabat di Selangor.
“Berdasarkan carian profil, menunjukkan ejen pemasaran dan syarikat yang menawarkan pelabiran itu mempunyai alamat sama,” jelasnya.
Katanya, mangsa telah membuat laporan polis pada tiga bulan lalu dan terdapat kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) atau kes sivil.
“Malah ada pendakwaan dilakukan di Melaka namun hanya membabitkan lapan orang saksi pendakwaan.
“Bagaimana kes yang membabitkan hampir ratusan mangsa namun lapan orang sahaja menjadi saksi pendakwaan?
“Apakah ini bukannya dengan jelas menunjukkan satu jenayah penipuan terancang, sekiranya bukan, pengadu dan mangsa memerlukan jawapan daripada pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN










