DUNGUN: Lebih 300 ahli Pergerakan Pemuda UMNO dan Skuad Sabil dari beberapa buah negeri turun padang membantu membersihkan kediaman penduduk yang terjejas di tiga buah kampung terjejas banjir di Hulu Dungun, di sini, hari ini.
Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin berkata, sukarelawan yang terdiri daripada pemuda berusia 18 hingga 40 tahun itu turut melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan membaik pulih kediaman di Kampung Shukor, Kampung Pasir Raja dan Kampung Jongok Batu.
“Kerja-kerja sukarelawan ini bukan kali pertama kita lakukan, malah kita turut turun padang membantu penduduk di Johor dan Kelantan yang terjejas banjir baru-baru ini dan di Terengganu inipun, kita turut turun membantu kerja sukarelawan pada hujung Disember lalu.
“Selain kediaman, kita turut memberi fokus kepada surau dan sekolah yang turut dipenuhi lumpur,” katanya kepada pemberita ketika turut membersihkan salah sebuah rumah penduduk di Kampung Jongok Batu, di sini, hari ini.
Hafiz memberitahu, pihaknya turut menyampaikan sumbangan berupa barangan dapur dan wang tunai kepada mangsa banjir di kampung terlibat.
Dalam pada itu, Hafiz berkata, setakat ini terdapat seramai 3,000 anggota Skuad Sabil yang aktif di seluruh negara.
“Melalui skuad ini, kita lakukan kerja-kerja sukarelawan dan kita harap lebih ramai ahli pemuda menyertai skuad ini,” katanya. – UTUSAN










