JOHOR BAHRU: Seramai 214 graduan daripada sembilan program diploma dan satu program sijil menerima skrol masing-masing dalam Istiadat Konvokesyen Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT) Ke-16, semalam.
Penerima diploma terdiri daripada 38 graduan Diploma Kejururawatan, 59 graduan Diploma Kesetiausahaan Kesihatan dan 24 graduan Diploma Kesetiausahaan Undang-undang.
Selain itu ialah masing-masing empat graduan Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma Pengurusan Perhotelan dan Diploma Grafik Media Digital, 36 graduan Diploma Seni Kulinari dan 22 graduan Diploma Pengurusan Industri Halal.
Ini termasuk sembilan graduan Diploma Pengurusan Kecantikan dan 14 lulusan Sijil Pembantu Perawatan Pesakit (PCA) dan istiadat penuh bersejarah yang diadakan di Hotel Berjaya Waterfront, di sini dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Kolej INSTEDT, Mejar Jeneral (B), Datuk Md. Ismail Ahmad Khan.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Kolej INSTEDT, Datuk Shahrul Azila Mohd. Salleh.
Pihak pengurusan Kolej INSTEDT mengucapkan tahniah kepada semua graduan dan mendoakan semoga berjaya dalam kerjaya masing-masing.
Program sijil PCA merupakan program baharu yang ditawarkan di Kolej INSTEDT
Medini, Iskandar Puteri.
Kolej INSTEDT terus komited untuk melahirkan lebih ramai graduan, terutamanya dalam bidang sains dan kesihatan serta menjadi hab utama dalam memenuhi keperluan pasaran kerja dan tenaga mahir dalam bidang tersebut.
Justeru, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau golongan belia yang berumur antara 18 hingga 26 tahun dialu-alukan untuk menyambung pengajian di Kolej INSTEDT.
Mereka boleh menghadiri temuduga terbuka bagi program Diploma Kejururawatan dengan tajaan biasiswa penuh daripada hospital-hospital swasta terkemuka dalam negara yang memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Kolej INSTEDT.
Hospital yang terlibat ialah Hospital Gleneagles Medini Johor, Hospital Pakar Regency, Hospital Columbia Asia, Hospital Kensington Green Specialist Centre dan Hospital Kempas Medical Centre.
Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang www.instedt.edu.my atau laman sosial Facebook Instedt at Medini, Iskandar Puteri. – UTUSAN











