PETALING JAYA: Upah atau gaji lumayan mungkin antara faktor boleh menarik minat belia tempatan untuk menceburi sektor perladangan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar ekonomi, Dr. Mohd. Fairuz A. Razak berkata, kecenderungan rakyat Malaysia mencuba nasib menjadi pemetik buah di luar negara seperti Australia dan New Zealand sebelum ini adalah kerana mereka tertarik dengan bayaran gaji ditawarkan, selain menjanjikan banyak faedah yang mungkin tiada di negara sendiri.
Menurutnya, pihak-pihak berkaitan mungkin boleh mengambil pendekatan seperti yang dilakukan golongan petani atau peladang di luar negara iaitu dengan memberi gaji lumayan.
“Gaji yang ditawarkan di luar negara mungkin lebih tinggi berbanding gaji diperoleh di sektor perladangan di Malaysia.
“Sesetengah rakyat Malaysia mungkin menganggap terdapat fasiliti dan perlindungan pekerja yang lebih baik seperti hak pekerja, kondisi kerja dan jaminan yang tinggi,” katanya di sini, semalam.
Baru-baru ini, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi melahirkan penuai sawit profesional dalam kalangan rakyat tempatan perlu diwujudkan untuk menangani isu kekurangan pekerja dalam bidang itu.
Jelasnya, program TVET diyakini dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing untuk kerja-kerja penuaian di ladang sawit.
Dalam pada itu, Pensyarah TVET, Prof. Dr. Mohamad Sattar Rasul, berkata, TVET perlu lebih fokus dengan mewujudkan program sesuai untuk menyediakan tenaga kerja profesional dalam industri kelapa sawit terutama aspek penuaian.
“Minat menceburi bidang ini akan timbul apabila perancangan daripada sistem pendidikan berkaitan kelapa sawit dan setelah itu, baru pasaran kerja itu ada sinergi.
“Kalau tiba-tiba nak minta orang kita bekerja tanpa ada penjelasan tentang pekerjaan dan kelestarian pekerjaan tersebut, maka tidak mungkin mendapat kecenderungan anak tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohamad berkata, program ini perlu mewujudkan pendidikan yang sesuai serta merekrut mereka untuk mendapat latihan yang diiktiraf.
“Pastikan jawatan pekerjaan dan gaji yang baik serta ada keterjaminan pekerjaan dan bukan menganggap mereka sebagai buruh kasar.
“Rakyat Malaysia tidak ramai, mereka cenderung untuk memilih kelangsungan hidup yang lebih baik, maka pendidikan dalam bidang yang diperolehi harus memberi keterjaminan pekerjaan dan kestabilan pendapatan untuk kelangsungan hidup itu,” ujarnya.- UTUSAN










