PETALING JAYA: UMNO menegaskan parti itu kekal dengan prinsip yang diperjuangkan sejak dahulu walaupun kini berada di dalam Kerajaan Perpaduan bersama dengan seteru lama, DAP.
Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, partinya tidak akan berkompromi dan sentiasa tegas sekiranya melibatkan isu orang Melayu dan agama Islam walaupun dibangkitkan oleh pemimpin lain dalam kerajaan.
Jelas beliau, UMNO sentiasa bertegas dengan pemimpin-pemimpin DAP yang sering menimbulkan isu kurang senang membabitkan dua perkara tersebut dan tidak sesekali menjadi ‘penjilat’ parti itu.
“Semasa Pas dengan DAP dahulu (era Pakatan Rakyat) apa mereka buat? Adakah ketika itu mereka tegas? Adakah Pas ada buat sesuatu apabila dahulu DAP menyentuh hal orang Melayu dan agama Islam? UMNO baru setahun lebih bersama parti tersebut.
“Adakah DAP ketika itu tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang sensitif dalam kalangan orang Melayu dan beragama Islam Jadi jangan anggap isu-isu terjadi sebelum ini menandakan UMNO tidak tegas.
“Tidak perlu jaga hal UMNO, kita tahu apa perlu dilakukan dan kami juga tahu hendak letak sempadan dengan kawan-kawan di dalam kerajaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Pas mempersoalkan UMNO khususnya kepemimpinan tertinggi parti itu yang dilihat ‘menikus’ terhadap sikap pemimpin DAP yang sudah beberapa kali mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu-gugat sensitiviti umat Islam dan Melayu di negara ini.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata, pemimpin-pemimpin Pas masih ‘dihantui’ oleh kegagalan menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan beberapa kali menebuk ‘atap’ kerajaan.
“Jadi mereka tidak ada cari lain, mereka buat seperti ini. Konon nak cucuk atau melagakan parti di dalam kerajaan kerana kalau boleh mereka mahu UMNO berpisah dengan DAP sebab mereka ada cadangan sekiranya DAP keluar mereka akan dekat kembali dengan parti tesebut untuk menjadi kerajaan,” katanya.
Sementara itu, beliau menyifatkan tindakan segelintir pemimpin-pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan perasaan tidak senang itu adalah berpunca daripada masalah dalam parti tersebut sendiri.
“Kita tahu ada gerakan untuk mensabotaj Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan dibuat oleh pemimpin tertentu dan kuncu-kuncunya. Ini masalah dalaman mereka jadi kita serah pada Antony Loke memperbetulkan,” ujarnya. – UTUSAN










