Tun Daim mengaku tidak bersalah gagal isytihar 71 harta

Tun Daim mengaku tidak bersalah gagal isytihar 71 harta

DAIM ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam ini atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan 71 asetnya seperti yang dikehendaki oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM).

Aset-aset tersebut merangkumi satu bank akaun, tujuh buah kenderaan, 38 buah syarikat dan 25 hartanah atau tanah di bawah syarikat.

Bagaimanapun, Daim atau na­ma sebenarnya, Che Abdul Daim Zainuddin, 86, yang hadir ke mahkamah dalam keadaan berkerusi roda mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Pada 23 Januari lalu, isterinya, Toh Puan Na’imah Khalid turut didakwa atas pertuduhan sama di hadapan hakim serupa.

Mengikut pertuduhan, Daim didakwa dengan sengaja memberikan pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 November 2023 dan notis tersebut dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023.

Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh pada 13 Di­sem­ber 2023 di Ibu Pejabat SPRM di Presint 7, Putrajaya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(1)(a) ASPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendak­waan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan antara RM250,000 hingga RM500,000 dengan seorang penjamin, warganegara tempatan.

Pihak pendakwaan turut memohon syarat tambahan kepada mahkamah iaitu tertuduh perlu melaporkan diri ke ibu pejabat SPRM sebulan sekali dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

“Akhir sekali, kami di sini memohon agar selepas ini tiada apa-apa komen dibuat (oleh tertuduh) tentang prosiding mahkamah ini kerana kes telah dituduh di mahkamah.

“Kami faham berhubung kebebasan bersuara rakyat Malaysia ini tetapi kebebasan tersebut ada hadnya terutamanya apabila seseorang itu telah dituduh di mahkamah. Kita ingin menge­lakkan apa-apa komen yang berbentuk subjudis,” katanya.

Sementara itu, peguam bela, M. Puravelan yang mewakili Daim memohon mahkamah mengambil kira keadaan kesihatan anak guamnya.

Jelasnya, anak guamnya per­nah diserang angin ahmar beberapa tahun lalu dan turut kehilangan mata kiri akibat jangkitan kuman yang menyebabkan beliau perlu mengambil pelbagai jenis ubat.

“Berkaitan syarat tambahan iaitu mengenai pasport dan keperluan melaporkan diri ke pejabat SPRM, ia adalah mustahil disebabkan keadaan kesihatannya,” katanya.

Selepas mempertimbangkan hujah ran rayuan, Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM280,000 dengan seorang penjamin warga tempatan. Tiada syarat tambahan dikenakan.

Daim menjelaskan ikat jamin pukul 11.24 pagi dengan ditemani isterinya, Na’imah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×