PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tidak akan melakukan audit semula terhadap pemberian 39,000 lesen dan permit bagi urus niaga padi dan beras negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Bahagian Pengawalan Padi dan Beras KPKM, Datuk Azman Mahmood berkata, sebelum mengeluarkan lesen dan permit kementerian telah melakukan saringan dan mengenakan syarat ketat kepada pemohon.
“Tidak kisah permit urus niaga meliputi pengilangan, pemborongan, peruncitan, import atau eksport dan pemindahan antara negeri, kita hanya keluarkan untuk yang layak, ada syarat yang perlu dipatuhi,” katanya.
Oleh itu, menurut beliau, masalah yang sedang berlaku sekarang iaitu bekalan beras tempatan yang didakwa sukar dibeli tidak ada kaitan dengan kartel atau monopoli beras negara.
Sebaliknya, kata Azman, kekurangan beras tempatan dipengaruhi kegiatan memborong makanan ruji itu contoh untuk memberi bantuan, zakat dan peniaga memborong produk tersebut dengan banyak.
“Ada beberapa tender kerajaan yang menggunakan beras tempatan untuk memberikan bantuan dan sebagainya contohnya seperti zakat, yang menjadikan stok beras tempatan di pasaran ketika ini kurang.
“Peniaga juga sering memborong dan menggunakan beras tempatan untuk jualan perniagaan menyebabkan stok beras tempatan sedikit terhad dan sebab itu kita sedang usahakan Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB),” katanya.
Kata beliau, program SMART SBB akan diperluaskan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak untuk meningkatkan bekalan beras negara.
“Menerusi SMART SBB kita jangka Malaysia boleh meningkatkan hasil beras tempatan kerana penanaman padi lebih sistematik dan mampu menghasil beras lebih tinggi bagi setiap hektar sawah,” kata beliau.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan KPKM mengeluarkan 39,000 pelbagai lesen seperti borong beras, eksport, import, kilang padi, membeli padi, beras runcit dan kelulusan khas menjual benih padi.
Sementara itu, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) digesa menyiasat segera 39,000 pemegang lesen berkaitan padi dan beras bagi memastikan ketelusan serta mengesahkan semua aktiviti mereka tidak melanggar mana-mana syarat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berkata, penafian KPKM terhadap kewujudan kartel atau ‘mafia’ yang menentukan harga padi, beras dan benih padi tidak cukup untuk menyelesaikan masalah pengeluaran serta bekalan beras tempatan di negara.
Katanya, beras tempatan sepatutnya merangkumi 68 peratus daripada keseluruhan beras di pasaran namun saban hari pihaknya menerima aduan bahawa makanan ruji tersebut sukar diperoleh di pasar raya dan lain-lain premis.
“FOMCA berpandangan sudah tiba masanya MyCC melakukan intervensi dalam isu ini seperti yang dilakukannya ketika membongkar kewujudan kartel dalam industri ayam. Mereka ada kuasa untuk menentukan wujud atau tidak kartel mahu pun monopoli dalam industri beras tempatan
“Siasatan terhadap semua pemegang lesen berkaitan padi dan beras dapat menentukan sama ada lesen itu benar-benar diguna mengikut kelulusannya, tiada ketirisan atau mengalibabakan permit,” katanya.
Terdahulu, akhbar ini, mendedahkan mengenai kewujudan ‘kartel’ yang menekan nasib pesawah dan Gabungan Pengilang Beras Malaysia membuat dakwaan bahawa ada kartel yang dimonopoli empat hingga lima syarikat besar dalam menentukan harga padi, beras serta pembekal benih.
Kartel itu juga dikatakan memonopoli lebih 60 peratus pengeluaran beras negara namun KPKM menafikan dakwaan kewujudan kartel atau mafia yang dikatakan bertindak menentukan harga padi di negara ini sambil memaklumkan sebanyak 39,000 lesen pelbagai jenis dikeluarkan dalam industri tersebut.
Katanya, antara lesen yang dikeluarkan meliputi Lesen Borong Beras, Lesen Eksport, Lesen Import, Lesen Kilang Padi, Lesen Membeli Padi, Le sen Beras Runcit, dan Kelulusan Khas Menjual Benih Padi bagi benih padi sah (BPS).
Susulan itu, semalam akhbar ini melalui laporan muka depan menggesa kerajaan melalui KPKM untuk mengaudit kesemua 39,000 lesen dan permit yang sudah dikeluarkan kepada pemain industri beras negara bagi mengenalpasti punca gangguan bekalan makanan ruji tersebut.
Pemegang permit berkaitan industri beras juga harus menghantar penyata kewangan untuk menunjukkan jumlah aktiviti yang dilakukan dan ia harus diaudit bagi mengelak mereka mengalibabakan permit diberikan kerajaan.
Malaysia perlukan 1.8 juta tan beras dan bukan 39,000 pelbagai lesen. Lesen tidak menjamin keterjaminan makanan. – UTUSAN










