KUALA LUMPUR: Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, berpandangan tiada halangan untuk meletakkan kadar minima sebagai garis panduan bayaran kepada penggiat filem dan drama.
Cuma, kelemahannya adalah tiada sokongan kesatuan untuk menguatkuasakan kaedah tersebut.
“Ia berbalik kepada penguatkuasaan. Kita lemah sokongan, berbanding di Hollywood yang mempunyai kesatuan. Kalau diperkotak katikkan, seluruh penggiat, dari pelakon sampai kru penggambaran akan bersatu untuk menyuarakan hak mereka.
“Pada masa yang sama, konsep kesatuan belum sesuai diterapkan dalam industri filem dan drama tempatan kerana penggiatnya masih belum diiktirafkan sebagai pekerja tetap.
“Cuma kita ada banyak persatuan, namun masing-masing ada hala tuju tersendiri. Sukar untuk mencapai kata sepakat berhubung sebarang isu termasuk bayaran gaji melainkan kita semua bersatu,” jelasnya.
Mengulas lanjut, kata Freddie kaedah bayaran pelakon di Malaysia secara asasnya tidak berbeza dengan negara luar yang mana kadar (bayaran) yang diberikan masih berpandukan tarikan, populariti dan kekuatan nama pelakon itu di mata masyarakat.
“Contoh, Tom Cruise. Setiap filem dibintanginya pasti berjaya. Penerbit, mahu atau tidak, kena bayar tinggi kepada beliau.
“Ada pelakon lama yang terkenal, tapi disebabkan mereka tidak aktif berlakon, kurang relevan dalam industri, nama sedikit suram, mereka dibayar rendah.
“Jadi, pelakon, baru atau lama kena tetapkan nilai mereka. Mahu atau tidak kena berusaha untuk relevan, sentiasa muncul di media digital dan arus perdana, kukuhkan nama dan gunakan populariti untuk tarik masyarakat menonton filem atau drama mereka,” katanya.
Namun jelas Freddie, adalah tidak wajar untuk membandingkan jumlah bayaran diterima pelakon dan kru perfileman tempatan dengan Hollywood yang merupakan sebuah industri yang berpuluh kali ganda lebih besar berbanding Malaysia.
“Dari segi angka, bayaran pelakon di Hollywood jauh lebih tinggi oleh itu tak wajar kita samakan keadaan di sana dengan Malaysia sebab industri kita tidak seluas mereka.
“Bahkan pasaran mereka bersifat global. Jadi pelakon antarabangsa jauh lebih selesa dari sudut bayaran meskipun ada sebahagiannya yang merasakan mereka dibayar rendah,” ulasnya.