Tangguh pendaftaran PADU, selesai dahulu isu keselamatan - Kian Ming

Tangguh pendaftaran PADU, selesai dahulu isu keselamatan – Kian Ming

Pengkalan Data Utama (PADU) dilancarkan pada 2 Januari lalu. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proses pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) perlu ditangguhkan sementara waktu sehinggalah beberapa kelemahan keselamatannya dipertingkatkan.

Gesaan tersebut dibuat bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming, yang melihat bahawa penangguhan tersebut adalah penting susulan terdapat kelemahan keselamatan di dalam sistem PADU.

“Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, melalui platform sosial X mengatakan data yang disatukan daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan tidak akan dipaparkan kerana kebimbangan keselamatan terhadap kemungkinan sistem PADU digodam.

“Tetapi jika maklumat tersebut sudah ada di kementerian dan agensi kerajaan, mengapa pengguna perlu mengisi semula maklumat sama. Apa berlaku jika maklumat diberikan tidak selari dengan yang diperoleh oleh data PADU dan bagaimana PADU mengesahkan maklumat seperti pendapatan sewaan daripada tanah dan aset?

“Dengan terlalu banyak penambahan data untuk diisi, pengguna akan memilih untuk tidak melakukannya atau mengisi dengan maklumat tidak tepat supaya mereka layak menerima subsidi kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sistem PADU dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama serta sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri.

Semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data menerusi portal PADU serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan.

Mengulas lanjut, Kian Ming berkata, objektif pangkalan data tersebut adalah bertujuan mengenal pasti golongan yang tepat untuk menerima subsidi bersasar kerajaan, namun malangnya ia mungkin tidak akan dicapai.

“Ada penerima bantuan kerajaan seperti Bantuan Tunai Rahmah (BTR) tetapi tidak layak menerima kerana mempunyai pendapatan bukan cukai lain seperti pendapatan sewa rumah dan memiliki tanah. Ia kerana mereka tidak akan mengisi maklumat tepat dalam sistem PADU.

“Selain itu, ada isu keselamatan utama dengan pendaftaran PADU di mana jika pengguna mempunyai nombor kad pengenalan (IC) dan poskod yang dikaitkan dengan alamat IC pengguna, sesiapa saja boleh mendaftar, tanpa perlu melalui Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital (e-KYC),” katanya.

Kian Ming turut berkongsi tindakannya menguji pendaftaran PADU bagi empat pemimpin DAP iaitu Hannah Yeoh, Steven Sim Chee Keong, Liew Chin Tong dan Teo Nie Ching mengikut alamat kad pengenalan dan poskod kediaman masing-masing.

“Semua pendaftaran akaun PADU untuk mereka tanpa melalui pengesahan e-KYC. Saya juga boleh menukar beberapa butiran untuk kelayakan akademik dan pekerjaan Hannah tanpa perlu melalui pengesahan itu tanpa pengetahuan beliau,” katanya.

Justeru beliau berkata, kerajaan wajar menangguhkan pendaftaran PADU sebelum isu keselamatannya diperbaiki selain mengambil masa untuk membuat pengujian sistem sebelum ia dilancarkan semula.

“Pengguna yang sudah mendaftar tetapi belum menjalani pengesahan e-KYC perlu diminta membuat pendaftaran semula selepas isu keselamatan diselesaikan.

“Selain itu, ruang maklumat perlu dikurangkan, sebaik ciri keselamatan dimasukkan, data yang boleh diambil daripada agensi dan kementerian lain perlu diisi terlebih dahulu.

“Pengguna juga perlu mempunyai mekanisme di mana mereka boleh membuat laporan sekiranya maklumat yang diberikan tidak tepat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya