Tangguh laksana PADU hingga Akta Perlindungan Data Peribadi dipinda

Tangguh laksana PADU hingga Akta Perlindungan Data Peribadi dipinda

Pengkalan Data Utama (PADU) dilancarkan pada 2 Januari lalu. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa menangguhkan pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sehingga pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (APDP) bagi memastikan kerajaan dan agensi terlibat bertanggungjawab ke atas perlindungan dan keselamatan data rakyat.

Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek berkata, pelaksanaan sistem PADU sebelum pindaan APDP mendedahkan orang ramai kepada risiko pencerobohan dan kebocoran, penipuan dan penyalahgunaan lain.

“Setakat ini, Seksyen 3 (1) APDP mengecualikan kerajaan daripada penguatkuasaannya, ia bermakna data yang dikumpul oleh PADU boleh disebarkan atau digunakan oleh kerajaan di luar tujuan yang diisytiharkan sebagai subsidi bersasar.

“Sebelum ini pernah berlaku kes penyalahgunaan data oleh kerajaan yang mana data peribadi digunakan untuk menyebarkan propaganda melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada orang ramai. Ia akan menjadi pengkhianatan besar-besaran terhadap kepercayaan sekiranya data dikumpul daripada orang ramai digunakan oleh kerajaan untuk sebarang tujuan politik.

“Justeru, kami menyeru kerajaan menangguhkan pelaksanaan PADU sehingga pindaan yang diperlukan dibuat kepada PDPA. Kerajaan mesti bertanggungjawab dalam undang-undang sebelum ia boleh melancarkan sebarang platform pengumpulan data untuk memastikan data yang dikumpul dilindungi dan terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selasa lalu, kerajaan melancarkan PADU iaitu sistem mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia yang menjadi penerajui kepada pengagihan subsidi dan bantuan lebih adil.

Dalam pada itu, Zaid mempersoalkan mengapa Rang Undang-Undang (RUU) Omnibus yang bertujuan membenarkan perkongsian data antara kementerian dan agensinya tidak digubal sebelum melancarkan PADU.

“Tanpa pindaan dibuat sebelum pelancaran PADU, orang ramai tidak boleh yakin bahawa data mereka akan dilindungi daripada penyalahgunaan oleh kerajaan atau penipu dan individu tidak bertanggungjawab yang sudah pasti akan menyasarkan pangkalan data besar-besaran.

“Adalah tidak mencukupi bagi kerajaan untuk memberi jaminan lisan bahawa data yang dikumpul di bawah PADU tidak disalahgunakan atau akan dilindungi,” katanya.

Zaid kemudian menegaskan terdapat keperluan untuk pindaan segera kepada PDPA untuk meletakkan tanggungjawab dan liabiliti kepada kerajaan serta agensi yang bertanggungjawab untuk perlindungan dan keselamatan data yang dikumpul. 

“Sama ada ada RUU Omnibus atau tidak, pindaan PDPA mesti dilakukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya